KUANTAN – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merekodkan nilai jualan melebihi RM84.14 juta dengan anggaran penjimatan rakyat sebanyak RM25.18 juta menerusi program Jualan Agro Madani di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, pada tahun lalu, seramai 2.63 juta kehadiran pengunjung direkodkan melalui 4,300 program Jualan Agro Madani yang dilaksanakan.
Menurutnya, inisiatif tersebut turut memberi manfaat kepada 10.54 juta pengguna termasuk 61,891 usahawan tempatan.
“Bagi tahun ini, bermula 1 Januari sehingga 25 Januari lalu, FAMA telah melaksanakan 250 program tersebut dan berjaya menarik seramai 440,000 pengunjung.
“Ia memberi manfaat kepada 1.76 juta orang melibatkan 5,527 usahawan tempatan, dengan nilai jualan terkumpul RM13.25 juta manakala penjimatan dianggarkan sebanyak RM1.76 juta,” katanya.
Aminuddin berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyempurnakan Karnival Jualan Agro Madani Negeri Pahang 2026 di sini, pada Sabtu.
Jelasnya, kehadiran pengunjung di setiap lokasi penganjuran program tersebut amat memberangsangkan dan melebihi sasaran.
“Situasi ini sebenarnya banyak disumbangkan oleh kreativiti pegawai FAMA daerah dan negeri yang bijak mengenal pasti cita rasa rakyat di kawasan masing-masing.
“Justeru, program berasaskan cita rasa tempatan ini menyumbang kepada peningkatan kehadiran pengunjung seterusnya melonjakkan jualan serta penjimatan,” ujarnya.
Tambah beliau, siri Karnival Jualan Agro Madani 2025 dijangka akan berakhir pada bulan Mac depan dengan lokasi terakhir di Melaka.
“Bagaimanapun, memandangkan ketibaan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi, kita menjangkakan program jualan ini akan ditambah,” katanya.
Sempena majlis perasmian itu, Aminuddin turut menyempurnakan penyerahan bantuan dan insentif kepada usahawan FAMA di negeri ini.
Tambah beliau, Karnival Jualan Agro Madani Negeri Pahang 2026 yang disertai 98 usahawan itu menyasarkan kehadiran sehingga 25,000 pengunjung dengan anggaran nilai jualan mencecah RM750,000 serta penjimatan sebanyak RM225,000 sepanjang tempoh penganjuran.
“Secara keseluruhannya, program ini dilihat berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, bukan sahaja dalam membantu menangani kos sara hidup rakyat, malah memperkukuh ekosistem pemasaran produk agromakanan tempatan serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” ujarnya.