KUANTAN – Kerajaan Madani terus memperkukuh pendidikan Islam dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM350,000 bagi menyokong pembinaan serta kerja-kerja baik pulih fasiliti dan infrastruktur Pusat Pendidikan Ribath Al-Mustofa dan Ribath Az-Zahra Al-Batul di Pahang.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, komitmen kerajaan itu dizahirkan menerusi pelbagai dasar, program dan intervensi strategik yang menyeluruh bagi memartabatkan syiar Islam di negara ini.
Menurut beliau, komitmen tersebut turut diterjemahkan melalui Belanjawan 2026 apabila sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan bagi memperkukuh pendidikan Islam serta pembangunan sektor berkaitan, termasuk maahad tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok di seluruh negara.
"Kelulusan peruntukan itu dibuat susulan lawatan kerja ke Pusat Pendidikan Ribath Al-Mustofa, Sungai Karang Pantai, bagi meninjau secara langsung keadaan fasiliti dan infrastruktur pusat pendidikan berkenaan yang diasaskan oleh Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Lawatan tersebut turut disertai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razihan Adzharuddin.
Ahmad Farhan berkata, peruntukan yang diluluskan oleh Perdana Menteri itu bertujuan memastikan para pelajar dapat menimba ilmu agama dalam persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif.
Menurutnya, usaha tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan Islam serta menyuntik semangat kepada generasi muda untuk terus mendalami ilmu agama dan melahirkan insan berilmu yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.
"Kerajaan Madani akan terus komited memperkasa institusi pendidikan Islam sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan insan yang holistik dan berteraskan nilai," tambahnya.