Blind box: Satu yang menjerat

Iklan
KEGILAAN untuk membeli blind box terutamanya dalam golongan anak muda boleh menjerumuskan diri mereka kepada kebinasaan dan pembaziran.

Fitrah suka keindahan dimanipulasi industri dan sikap FOMO menyebabkan hawa, lupa diri

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, fenomena blind box atau kotak misteri semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna khususnya golongan muda.

Daripada patung comel, figura watak animasi hinggalah kepada barangan koleksi eksklusif, kotak misteri ini berjaya mencetuskan keterujaan luar biasa, walaupun pembeli tidak tahu apa yang bakal diperoleh.

Iklan
Iklan

Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Dr Muhamad Hafiz Hassan menjelaskan, fenomena global ini tarikannya bukan sekadar pada rupa bentuk, tetapi pada kejutan dan ketidaktentuan apabila pembeli tidak mengetahu apa yang bakal diperoleh sehingga kotak dibuka.

Ujarnya, ungkapan yang sering digunakan ialah ‘satu saja’, namun ia bertukar koleksi, sebelum ia menjadi pembaziran dan akhirnya menjadikan kita saudara kepada syaitan tanpa disedari.

Iklan

DR MUHAMAD HAFIZ

“Dari sudut sains tingkah laku, ganjaran yang tidak menentu seperti ini boleh mengaktifkan sistem ganjaran otak dan mendorong keinginan untuk mengulangi perbuatan yang sama.

Iklan

Jelasnya, gabungan kefahaman sains moden dan ilmu sosial sebenarnya membantu menjelaskan peringatan ALLAH SWT dalam hal ini.

“Islam tidak melarang keindahan atau keseronokan, tetapi mengingatkan manusia agar keinginan sentiasa ditimbang dengan akal, nilai dan iman agar ia tidak berubah menjadi tabiat yang memudaratkan diri.

“Islam mengajar bahawa manusia dicipta dengan fitrah yang cenderung kepada keindahan,” hurainya.

Fitrah yang dieksploitasi

Bagaimanapun katanya, fitrah ini boleh dieksploitasi jika dilihat dari sudut pendidikan seni visual dan reka bentuk, produk blind box direka dengan memahami sepenuhnya bagaimana mata manusia tertarik kepada keindahan.

“Warna pastel yang lembut dipilih kerana ia memberi rasa tenang dan mesra. Bentuk bulat dan mata besar mencetuskan naluri"comel" yang semula jadi dalam diri kita.

IBU BAPA sepatutnya menjadi teladan buat anak-anak dan melatih mereka untuk merasa cukup dengan mainan yang sedikit. Foto Canva

“Siluet (imej) kabur pada kotak sengaja direka untuk mengaktifkan imaginasi, membuat kita membayangkan apa yang mungkin ada di dalam,” katanya.

Dr Muhamad Hafiz menyambung, penyelidikan menunjukkan bahawa manusia memproses maklumat visual 60,000 kali lebih pantas berbanding teks.

“Fitrah menyukai keindahan merupakan kurniaan ALLAH. Tetapi apabila fitrah ini dimanipulasi untuk mendorong pembaziran, di sinilah kita perlu berwaspada,” ujarnya.

Menurut graduan Universiti Sains Malaysia dalam bidang Neurosains Molekular dan Selular, Dr. Fatin Haniza Zakaria, beliau menjelaskan dari sudut neurosains, ALLAH SWT telah mencipta otak manusia dengan sistem ganjaran yang kompleks.

Dopamina yang merupakan sejenis bahan kimia dalam otak, dilepaskan apabila kita mengalami sesuatu yang menyeronokkan. Ini adalah sebahagian daripada fitrah manusia yang mendorong kita mencari perkara yang bermanfaat.

DR FATIN HANIZA

“Namun, sistem ini boleh"ditipu". Apabila kita membeli sesuatu yang tidak diketahui hasilnya, seperti kotak misteri, nucleus accumbens dalam otak melepaskan dopamina dengan lebih tinggi berbanding pembelian biasa.

Bagaimanapun ujarnya, perlu diingatkan bahawa nucleus accumbens juga memainkan peranan yang sangat penting dalam proses ketagihan.

“Oleh itu, pengawalseliaan kawasan otak ini adalah amat penting bagi mengawal tingkah laku berkaitan ganjaran dan ketagihan.

“Apa yang lebih membimbangkan, prefrontal cortex yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan rasional sering"kalah" kepada sistem ganjaran ini. Inilah sebabnya kita boleh membeli berkali-kali walaupun akal kita tahu ia tidak perlu,” hurainya lagi.

Mekanisme ini ujarnya, mengingatkan kita tentang firman ALLAH dalam ayat ke-53 surah Yusuf: "Sesungguhnya nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan."

Beliau turut memberitahu, dopamina yang tidak dikawal adalah salah satu cara nafsu menguasai tindakan kita.

FOMO: Ketamakan yang dimodenkan

Menurut Dr Fatin Haniza, pereka produk bijak menggunakan elemen"edisi terhad" dan"rekaan rahsia" pada kotak misteri tersebut.

“Bila kita melihat perkataan limited edition, otak bertindak balas dengan rasa takut kehilangan atau FOMO (fear of missing out).

Jelasnya, FOMO yang kita rasakan hari ini adalah manifestasi moden bagi sifat tamak yang telah diperingatkan sejak zaman Rasulullah SAW. Bezanya, ia kini direka dan dieksploitasi oleh industri yang memahami psikologi manusia.

Perangkap koleksi

Mengulas lanjut, Dr Fatin Haniza menjelaskan, dalam satu siri blind box, biasanya terdapat antara lapan hingga 12 rekaan berbeza, ditambah dua atau tiga rekaan"rahsia" yang sangat jarang atau terhad.

“Dari sudut reka bentuk, prinsip unity dan variety digunakan untuk mewujudkan tarikan"mengumpul set".

KOLEKSI kereta mainan turut dipasarkan melalui blind box. Foto Canva

“Dari sudut psikologi, ini dipanggil sunk cost fallacy. Lagi banyak kita sudah laburkan, lagi susah untuk berhenti.

Ujarnya, koleksi yang tidak berkesudahan ialah tanda jiwa yang tidak pernah merasa cukup. “Islam mengajar konsep qanaah iaitu merasa cukup dengan apa yang ada. Ini adalah penawar kepada perangkap koleksi yang tidak berpenghujung,” katanya.

Reka bentuk untuk algoritma, algoritma untuk nafsu

Menurut Dr Muhamad Hafiz, produk ini juga direka untuk era media sosial iaitu setiap patung direka untuk kelihatan cantik dalam gambar dan video.

“Momen membuka kotak direka untuk menjadi kandungan sosial media yang viral.

Ujarnya, media sosial hari ini merupakan medan saling bermegah-megah yang baharu.

“Kita membeli bukan kerana perlukan, tetapi kerana mahu menunjukkan. Ini adalah pembaziran berlapis, membazir wang dan membazir niat,” katanya.

Gharar yang disulami unsur perjudian

Bagi Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Selangor, Dr. Mohd Norazri Mohamad Zaini, beliau menjelaskan, jual beli berasaskan kejutan itu seolah-olah sedang menjual harapan palsu yang bukan kepastian.

“Pembeli tidak mengetahui dengan jelas apa yang akan dimiliki ketika akad dimeterai, lalu wujud gharar (ketidakjelasan) yang disengajakan dalam transaksi,” jelas beliau.

Ujarnya, dalam sepotong hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Rasulullah SAW melarang jual beli secara bay‘ al-hasah (lemparan batu) dan jual beli gharar (yang mengandungi unsur ketidakjelasan).” (Hadis Riwayat Muslim)

DR NORAZRI

Lebih daripada itu katanya, mekanisme kejutan sering menjadikan nilai pulangan bergantung kepada nasib.

“Walaupun ia memiliki elemen hiburan, Islam menilai akad bukan pada keterujaannya, tetapi pada keadilannya sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat ke-219 surah al-Baqarah,” jelasnya.

Tambahnya, transaksi tanpa ketelusan akan melatih manusia hanya bergantungan pada nasib dan nafsu, bukannya kepada nilai etika atau estetika serta keperluan.

Antara fitrah dan pembaziran

Dr Mohd Norazri menyambung, menyukai keindahan merupakan fitrah dan membeli sesuatu yang cantik bukanlah dosa.

“Akan tetapi apabila pembelian menjadi tidak terkawal, apabila"satu saja" tidak pernah cukup, apabila koleksi menjadi bebanan kewangan, di situlah kita telah melangkah ke wilayah yang ALLAH tidak reda.

“ALLAH SWT menyebut dalam ayat ke-31 surah al-A'raf:"Makanlah dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan."

“Perintah ini bukan sahaja tentang makanan dan minuman, tetapi merangkumi semua aspek kehidupan termasuk perbelanjaan,” jelasnya.

Sebagai kesimpulan, industri blind box memahami mata dan otak kita serta menggunakan pengetahuan itu untuk keuntungan mereka.

“Namun sebagai Muslim, kita mempunyai panduan yang lebih tinggi. Kita mempunyai al-Quran dan sunnah yang telah memperingatkan tentang bahaya pembaziran, jauh sebelum sains moden menemui mekanisme di sebalik tabiat membeli.

Pesannya, pilihan ada di tangan kita semua sama ada mahu menjadi hamba kepada keseronokan sementara dan koleksi atau mahu menjadi hamba ALLAH yang berjimat-cermat dan bersyukur?

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. Jangan biarkan 'satu saja' menjadikan kita saudara kepada makhluk yang paling kita benci,” jelasnya.

PERBELANJAAN yang melampau dan mengikut hawa nafsu boleh menyebabkan seseorang itu melakukan pembaziran. Foto Canva

Panduan sains dan syariat berkaitan blind box

Bagaimana kita melindungi diri dan keluarga daripada dibelenggu fenomena blind box ini? Sains dan syariat memberikan panduan yang selari berkaitan hal ini:

1 - Kenali mekanisme yang sedang berlaku

Fahami bahawa tarikan yang anda rasakan merupakan hasil gabungan reka bentuk visual yang canggih dan tindak balas dopamina dalam otak. Apabila anda sedar, anda lebih berupaya mengawal.

2 - Amalkan konsep qanaah (sederhana)

Sebelum membeli, tanya diri sendiri:"Adakah saya benar-benar perlukan ini? Atau saya hanya mahukan keseronokan yang sementara?"

3 - Gunakan kaedah 'tunggu 24 jam'

Apabila keinginan membeli datang, tunggu sehari. Rasa teruja yang tinggi akan menurun dan anda boleh membuat keputusan dengan lebih rasional. Ini adalah latihan untuk bahagian otak yang mengawal pertimbangan waras mengatasi nafsu.

4 - Tetapkan bajet dan patuhi

Islam mengajar kita merancang perbelanjaan. Umar Al-Khattab RA berkata:"Berjimat-cermatlah dalam perbelanjaanmu kerana berjimat-cermat adalah sebahagian daripada pendapatan."

5 - Didik anak-anak tentang literasi visual, kewangan dan nilai Islam

Ajar mereka bagaimana mata dan otak boleh dimanipulasi. Lebih penting, tanamkan dalam diri mereka bahawa sifat membazir adalah sifat yang dibenci ALLAH.

6 - Cari sumber kepuasan yang lebih berkekalan

Keseronokan daripada ibadah, sedekah, silaturrahim dan pencapaian yang bermakna adalah lebih berpanjangan dan diberkati berbanding kepuasan daripada pembelian impulsif (tergesa-gesa mengikut dorongan hati).