SETIAP kali sesi persekolahan baharu bermula, masyarakat sering sibuk bertanya soalan yang sama: Sekolah di mana? Asrama di mana? Aliran apa? Dan keputusan apa yang bakal dicapai?
Namun ada satu persoalan besar yang jarang disentuh dengan jujur: Apa yang sedang berlaku dalam jiwa ibu bapa apabila anak-anak melangkah keluar dari rumah untuk membina dunia mereka sendiri?
Bukan sekadar transisi akademik
Dalam Islam, setiap peralihan hidup merupakan medan tarbiah. Peralihan dari rumah ke sekolah, dari pelukan ibu ke disiplin asrama, dari suara keluarga ke suara guru, itu semua ialah proses pembentukan jiwa. ALLAH mengingatkan dalam firman-NYA: “Dan ALLAH mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa, lalu DIA mengurniakan kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur.” (Surah an-Nahl: 78)
Ayat ini menegaskan bahawa pendidikan manusia bukan hanya pengisian ilmu, tetapi pembentukan keupayaan melihat, mendengar dan merasa dengan betul.
Maka sesi persekolahan baharu seharusnya dilihat sebagai latihan menyusun kembali fungsi jiwa dan bukan sekadar mengejar pencapaian akademik.
Ujian iman yang senyap
Ramai ibu bapa gagal mengakui bahawa melepaskan anak untuk berdikari adalah antara ujian iman paling halus.
Kita sering mendidik anak supaya kuat, tetapi jarang mendidik diri untuk reda. Al-Quran dengan tegas mengingatkan: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu hanyalah ujian.” (Surah at-Taghabun: 15)
Ujian ini tidak semestinya datang dalam bentuk kegagalan anak, tetapi juga dalam kejayaan mereka melangkah keluar dari kawalan kita.
Kita tidak boleh menutup mata terhadap realiti dunia hari ini. Sekolah bukan lagi ruang yang neutral nilai. Ia berada di tengah arus globalisasi, digitalisasi, krisis identiti dan tekanan prestasi.
Laporan dan kajian mutakhir menunjukkan peningkatan isu keresahan, tekanan emosi dan kekeliruan jati diri dalam kalangan pelajar, termasuk di Malaysia.
Budaya perbandingan di media sosial, tekanan peperiksaan dan naratif kejayaan segera telah mencipta generasi yang cepat letih sebelum sempat matang.
Dalam konteks ini, menghantar anak ke sekolah apatah lagi sekolah berasrama yang bukan sekadar keputusan logistik, tetapi keputusan moral dan spiritual.
Antara perlindungan dan kepercayaan Rasulullah SAW mendidik umatnya dengan keseimbangan antara usaha dan tawakal.
Dalam satu hadis, Baginda SAW bersabda: “Ikatlah untamu, kemudian bertawakallah.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Hadis ini sering disebut, tetapi jarang dihayati dalam konteks pendidikan anak. Sekolah ialah usaha. Disiplin ialah ikatan. Nilai ialah benteng.
Sarjana pendidikan dan psikologi kontemporari menegaskan bahawa sistem pendidikan yang sihat ialah sistem yang memberi ruang kepada kegagalan, penyesuaian dan pembelajaran emosi.
Dalam tradisi Islam, hal ini telah lama difahami. Imam al-Ghazali menekankan bahawa pendidikan yang hanya membina akal tanpa membina hati akan melahirkan manusia yang pintar tetapi rapuh.
Sesi persekolahan 2026 seharusnya menjadi titik muhasabah: Adakah kita sedang membesarkan anak untuk hidup atau hanya untuk lulus peperiksaan?
Medan tarbiah ibu bapa
Apabila anak-anak berangkat ke sekolah baharu, rumah menjadi senyap. Namun Islam tidak melihat sunyi sebagai kekosongan. Sunyi adalah ruang mendengar suara hati.
Sunyi ini jika dihadapi dengan iman, boleh menjadi madrasah dewasa di mana tempat ibu bapa kembali membina hubungan dengan pasangan (love time), dengan al-Quran dan dengan ALLAH.
Doa ibu bapa: Pendidikan jarak jauh yang berkesan
Dalam hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda bahawa antara doa yang mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya.
Ini isyarat bahawa apabila jarak fizikal terbina, hubungan spiritual tidak pernah terputus.
Doa ibu bapa tidak memerlukan lokasi. Ia melintasi asrama, bilik darjah dan lautan. Ia menjadi perlindungan yang tidak tercatat dalam buku disiplin, tetapi direkod di sisi ALLAH.
Di sinilah ibu bapa belajar bahawa pengaruh sebenar bukan pada kawalan, tetapi pada keikhlasan doa.
Sesi persekolahan 2026 seharusnya menjadi medan membina generasi yang mampu berdiri dalam dunia yang tidak stabil.
Ini menuntut perubahan cara fikir ibu bapa dan masyarakat iaitu daripada obses keputusan kepada kesedaran proses; daripada bangga ranking kepada bangga akhlak; daripada takut anak gagal kepada takut anak hilang arah.
Sekolah hanyalah satu fasa, bukan tujuan akhir. Tujuan sebenar pendidikan ialah melahirkan manusia yang mengenal Tuhan, memahami diri dan mampu hidup dengan makna.
Apabila anak-anak melangkah ke sesi persekolahan baharu, biarlah langkah itu disertai doa, bukan ketakutan.
Biarlah rindu itu menjadi pahala, bukan kegelisahan. Dan biarlah sunyi rumah itu menjadi saksi bahawa kita telah menjalankan amanah, lalu menyerahkan selebihnya kepada ALLAH.
Ini kerana pada akhirnya, pendidikan paling mahal bukan yang tertulis dalam jadual sekolah, tetapi yang terukir dalam jiwa anak dan ibu bapa yang sama-sama sedang belajar menjadi hamba pada Tuhan yang satu.
***Penulis, PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia