MUTAKHIR ini pelbagai isu berkaitan kecelaruan emosi dan mental timbul di tengah-tengah masyarakat. Isu-isu umpama kes rogol, bunuh, serangan seksual, sumbang mahram dan seumpamanya berlaku dalam keadaan yang sangat membimbangkan.
Lepas satu kejadian, disusuli dengan kejadian yang lain pula. Ringkasnya, isu sebegini semakin menjadi-jadi seolah tiada noktah dan penyelesaian.
Lebih teruk lagi, kejadian ini melibatkan pemangsa dan mangsa terdiri yang mempunyai hubungan rapat sama ada adik-beradik, ibu bapa atau pun saudara mara terdekat.
Sebagai contoh pada 16 November 2025, satu berita tergempar yang memaparkan seorang ayah yang bekerja sebagai peniaga berusia 49 tahun telah melakukan sumbang mahram kepada anak perempuannya yang baru berusia 18 tahun.
Ironinya, apabila diteliti dengan kajian lapangan yang dilaksanakan, antara punca kes-kes jenayah sebegini terjadi adalah disebabkan kekacauan jiwa dan mental pemangsa-pemangsa ini yang menjurus kepada pengabaian dalam melaksanakan ritual solat yang diwajibkan ke atas seorang Muslim.
Maka, apabila ibadah solat yang wajib itu tidak dijaga dan dilaksanakan dengan baik, emosi seseorang itu akan mudah terjejas apabila ditimpa pelbagai bentuk ujian dan tekanan dalam kehidupan.
Seseorang itu umpama hilang punca dan hilang kewarasan akal apabila solat yang menjadi tempat untuk kita mengadu kepada ALLAH YANG MAHA KUASA, tidak lagi menjadi satu rutin untuk ditunaikan kewajipannya sebanyak lima kali sehari.
Realiti kehidupan pada zaman moden yang penuh dengan cabaran ini, pastinya aspek kesihatan mental semakin diberi perhatian dalam masyarakat termasuk dalam kalangan umat Islam.
Tekanan hidup sewaktu bekerja, cabaran ekonomi yang mendesak, informasi media sosial tanpa batasan dan tapisan serta kepantasan dunia hari ini yang sering menyumbang kepada tekanan, kebimbangan dan keresahan. Islam sebagai agama yang lengkap bukan sahaja memberi panduan kerohanian, malah menawarkan solusi menyeluruh bagi menjaga kesejahteraan mental.
Mekanisme psikologi, spiritual berkesan
Oleh itu, ibadah solat merupakan satu anugerah terbesar daripada ALLAH SWT yang mampu menatijahkan ketenangan jiwa. Ibadah solat selain menjadi kefarduan, ia juga berfungsi sebagai mekanisme psikologi dan spiritual yang sangat berkesan dalam membina ketenangan, kekuatan emosi dan kesejahteraan mental seorang Muslim.
Firman ALLAH SWT: “Ketahuilah, dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang.” (Surah ar-Ra’d: 28)
Secara spritualnya, ibadah solat akan menghubungkan seorang Muslim secara langsung dengan ALLAH SWT yang berkuasa untuk memberi ketenangan dan mengeluarkan seseorang daripada kekusutan urusan dunia.
Apabila seseorang mendirikan solat, tumpuannya akan beralih daripada kesibukan komitmen duniawi kepada penumpuan terhadap pengabdian kepada Ilahi.
Selain itu, tumpuan terhadap bacaan, pernafasan yang teratur dan susunan gerakan membantu melatih diri untuk kekal tenang dan mempunyai minda yang positif, yang secara teknikalnya, elemen ketenangan dan kekhusyukan dalam solat ini digunakan dengan sangat berkesan dalam rawatan kebimbangan dan kemurungan.
Sebagai contoh, sewaktu keadaan sujud, seseorang dilihat berada pada posisi fizikal yang paling rendah namun pada saat itulah juga hati rohani manusia paling hampir dengan ALLAH.
Maka pada ketika inilah banyak beban emosi dilepaskan, menjadikan solat satu bentuk terapi jiwa yang mendalam.
Menyihatkan fizikal, kurangkan stres
Dari sudut pergerakan solat itu sendiri, ia melibatkan pergerakan yang teratur dan sekiranya solat itu benar-benar khusyuk dan dihayati sebaiknya, semestinya ia akan membantu melancarkan peredaran darah, mengurangkan ketegangan otot dan meningkatkan oksigen ke otak melalui pergerakan di dalam solat.
Selain pahala, sujud memberi kelegaan fizikal dan ketenangan psikologi kerana ia melepaskan hormon relaksasi.
Nabi SAW bersabda: “Perbanyakkanlah sujud kamu kerana setiap sujud menaikkan darjatmu dan menghapuskan kesalahanmu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Pupuk sifat tawakal
Dalam konteks doa dan zikir selepas solat pula, setiap individu Muslim secara tidak langsung memupuk sifat tawakal iaitu menyerahkan urusan kepada ALLAH setelah berusaha.
Tawakal mengurangkan sikap berfikir yang berlebihan (overthinking), ketakutan kepada masa depan yang belum pasti dan rasa lemah tidak berdaya menerima ketentuan hidup yang tidak seperti diharapkan.
Keyakinan yang kuat kepada ALLAH dengan kepercayaan bahawa DIA sentiasa mendengar rintihan hamba-NYA akan memberi ketenangan mendalam yang tidak dapat diperoleh melalui cara duniawi semata-mata.
Sebagai kesimpulannya, solat bukan sekadar ibadah ritual, tetapi terapi spiritual yang memberikan kesan mendalam terhadap kesihatan mental.
Bermula dengan mengurangkan stres, mengawal emosi, membina rutin yang sihat, hingga menyuburkan ketenteraman jiwa, menjadi bukti bahawa solat ialah benteng utama kesejahteraan psikologi seorang Muslim.
Semestinya dalam dunia yang penuh tekanan dan ketidaktentuan dari sudut ekonomi dan sosial ini, solat menjadi ruang perlindungan, tempat kembali dan sumber kekuatan.
Jika dilakukan dengan penuh khusyuk dan konsisten, solat mampu membimbing seorang Muslim menuju ketenangan, keseimbangan dan kebahagiaan hidup yang sebenar.
***Penulis, MOHD ZULFADLI ADENAN merupakan Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknoloogi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor.