NABI Muhammad SAW menghadapi ujian yang amat berat dalam perjalanan menyebarkan dakwah pada tahun ke-10 kenabian Baginda.
Manakan tidak, pada tahun tersebut, dua insan terpenting dalam kehidupan Baginda telah kembali ke rahmatullah iaitu isteri yang tercinta, Khadijah RA dan bapa saudara yang menjadi pelindung dakwah iaitu Abu Talib.
“Kehilangan kedua-dua insan ini amat meruntun jiwa Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi ketika dakwah sedang menghadapi tentangan hebat.
“Baginda kemudian berangkat ke Taif bagi menyebarkan dakwah. Namun dakwah bukan sahaja tidak disambut, malah Baginda dicederakan penduduk.
“Ujian yang berlaku satu demi satu itu sangat mencengkam jiwa dan meruntun perasaan Baginda,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat bertajuk Solat pengubat jiwa yang terluka diterbitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Jumaat lalu.
Menurut JHEAINS, selepas melalui saat-saat genting itu, ALLAH SWT menganugerahkan peristiwa Israk dan Mikraj yang dikatakan berlaku pada 27 Rejab, beberapa tahun sebelum berlakunya peristiwa hijrah.
Tambahnya, menerusi ayat ini ALLAH SWT mengurniakan kekuatan jiwa kepada Rasulullah SAW sebagai tanda kasih sayang.
“Melalui kasih sayang itulah, setiap ujian yang dilalui dengan sabar dan keimanan pasti diiringi dengan limpahan rahmat serta pertolongan daripada YANG MAHA ESA.
“Peristiwa Israk dan Mikraj mengingatkan kita bahawa dalam hidup ini pasti ada waktu kita berasa lemah, sedih dan diuji dengan pelbagai dugaan.
“Di sebalik kesusahan itu, ALLAH SWT tidak pernah meninggalkan hamba-NYA yang sabar dan setia,” ujar JHEAINS.
Dalam peristiwa Israk dan Mikraj juga, ALLAH SWT mewajibkan solat lima waktu untuk umat Islam yang mungkin menyerlahkan bahawa solat mampu mengubat kedukaan dan kesedihan seseorang.
Menurut JHEAINS, sikap umat Islam terhadap solat pada hari ini boleh diperhatikan melalui lima kategori utama:
1 - Golongan Muslim yang benar-benar menjaga solat dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab.
Mereka memahami solat merupakan perintah agung yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Bagi golongan ini, solat bukan sekadar kewajipan, tetapi juga keperluan rohani yang mendamaikan dan mengukuhkan hubungan dengan Pencipta.
2 - Golongan yang menunaikan solat, namun sekadar melepaskan tanggungjawab.
Solat bagi golongan ini dilaksanakan dengan tergesa-gesa, tanpa penghayatan atau rasa khusyuk.
3 - Golongan yang menangguh-nangguhkan solat sehingga hampir luput waktunya.
Kesibukan kerja, urusan dunia atau sekadar keletihan sering dijadikan alasan. Hal ini menunjukkan keutamaan dunia lebih menguasai kehidupan mereka berbanding dengan tanggungjawab terhadap ALLAH SWT.
Dia lupa bahawa sebesar mana sekalipun urusan dunia ini, urusan tersebut tidak boleh mengatasi solat yang difardukan oleh ALLAH SWT yang mengurniakan segala nikmat.
4 - Golongan yang bersikap sambil lewa.
Golongan ini menunaikan solat pada waktu-waktu tertentu, seperti ketika ditimpa musibah, menjelang peperiksaan atau saat memerlukan pertolongan.
Solat bagi mereka bukan amalan yang konsisten, tetapi lebih kepada satu bentuk sandaran sementara. Sikap ini mencerminkan hubungan yang rapuh dengan ALLAH SWT dan pemahanan yang terpisah daripada hakikat ibadah yang sebenar.
5 - Golongan yang langsung tidak menunaikan solat.
“Sempena bulan Rejab yang mulia ini iaitu bulan yang mengandungi peristiwa agung Israk dan Mikraj yang disambut pada setiap 27 Rejab, bulan yang dikatakan sebagai bulan solat, marilah kita berazam untuk terus memelihara dan mendirikan setiap waktu solat sepanjang hidup.
“Solat tidak boleh dilihat sebagai pergerakan zahir sahaja, malahan solat ialah ruang untuk mengadu, memohon kekuatan dan menenangkan fikiran di tengah kepenatan hidup,” nasihat JHEAINS.
Dalam dunia yang penuh tekanan ini, solat menjadi saat peribadi paling berharga antara hamba dengan ALLAH SWT. Ingatlah bahawa solat merupakan ibadah yang pertama yang akan dihisab oleh ALLAH SWT pada hari akhirat kelak, ujarnya.