ABUJA - Nigeria digemparkan dengan kematian tragis seorang bakat muda industri muzik, Ifunanya Nwangene, 26, yang meninggal dunia pada Sabtu lepas selepas dipatuk ular di kediamannya, di sini.
Ifunanya yang mula meraih perhatian selepas menyertai program The Voice Nigeria pada 2021, dikenali dengan kebolehannya menggabungkan jazz, opera, klasik dan soul - menjadikannya antara bakat paling menyerlah dalam dunia seni tempatan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman yang menunjukkan seorang pengendali ular mengeluarkan seekor ular dari apartmen mendiang, sambil kedengaran jeritan orang ramai menyebut: 'Ular tedung!'
Rakan rapatnya, Sam Ezugwu yang juga pengarah muzik Amemuso Choir, tempat Ifunanya pernah menyanyi menyifatkan penyanyi itu sebagai “bintang yang sedang meningkat dan bakal menggegarkan pentas besar.”
Menurut rakan lain, Hillary Obinna, Ifunanya dipercayai sedang tidur ketika dipatuk.
“Gigitan itu yang mengejutkan beliau,” katanya.
Dua ekor ular dilaporkan ditemui di dalam rumah berkenaan.
Mendiang mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran, namun tiada antidot tersedia sebelum dipindahkan ke hospital.
Ezugwu bergegas ke hospital selepas dimaklumkan kejadian itu.
“Satu jenis antivenom ada, satu lagi tiada. Dia tidak mampu bercakap… hanya memberi isyarat tangan. Dia sukar bernafas,” katanya.
Ezugwu memandu ke beberapa lokasi untuk mencari antivenom lain, namun ketika kembali ke hospital, Ifunanya sudah disahkan meninggal dunia.
Seluruh ahli koir hadir ke hospital pada malam tersebut dengan harapan “keajaiban akan berlaku.”
Sementara itu, pihak pentadbiran hospital menegaskan, mereka tidak kekurangan antivenom dan proses rawatan diberikan adalah menyeluruh termasuk resusitasi, oksigen, cecair intravena dan antivenom polyvalent.
Mereka memaklumkan, keadaan Ifunanya merosot secara tiba‑tiba sebelum sempat dipindahkan ke unit rawatan rapi.
Kematian Ifunanya menambah siri perdebatan tentang tahap keselamatan pesakit di Nigeria, susulan beberapa dakwaan kecuaian perubatan termasuk kes membabitkan kematian anak novelis terkenal, Chimamanda Ngozi Adichie.
Menteri Kesihatan Nigeria berkata, sistem kesihatan negara itu berdepan “cabaran sistemik” dan mengumumkan pembentukan pasukan khas nasional bagi menilai aspek keselamatan pesakit.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sehingga 580,000 kes gigitan ular memerlukan rawatan berlaku di Afrika setiap tahun, dengan sekitar 30,000 kematian.
Kebanyakan mangsa tinggal di kawasan luar bandar dengan akses terhad kepada antivenom.
Kematian Ifunanya mengejutkan ramai kerana ia berlaku di kawasan elit Abuja - lokasi yang jarang dikaitkan dengan insiden seumpama itu. - Agensi/Awani