Zon kelabu: Strategi tersembunyi Iran

Iklan
Teheran berusaha mengelakkan konflik berskala besar yang berpotensi membawa kesan ekonomi yang serius serta mengorbankan lebih banyak nyawa. Gambar hiasan.

DALAM landskap geopolitik moden, konflik antara kuasa besar acapkali berlaku tanpa peperangan atau pertempuran ketenteraan secara langsung.

Satu pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah strategi zon kelabu (gray zone strategy) yang melibatkan persaingan antara dua pihak melalui kaedah halus dan bersifat tidak langsung dengan tujuan mencapai kelebihan strategik tanpa memulakan perang konvensional.

Iklan
Iklan

Strategi tersebut sering dilihat sebagai manifestasi konflik moden yang lebih kompleks kerana ia berlangsung dalam ruang zon kelabu yang samar-samar dan tidak jelas untuk diklasifikasikan sebagai perang terbuka.

Sejak beberapa dekad lalu, Iran telah menggunakan pendekatan zon kelabu sebagai sebahagian daripada strateginya dalam menghadapi ancaman kuasa yang lebih dominan termasuk Amerika Syarikat (AS) yang kini dianggap sebagai seteru utamanya.

Iklan

Pendekatan itu didorong oleh pengajaran yang dipelajari daripada pengalaman pahit, Perang Iran–Iraq pada era 1980-an.

Justeru, Teheran berusaha mengelakkan konflik berskala besar yang berpotensi membawa kesan ekonomi yang serius serta mengorbankan lebih banyak nyawa.

Iklan

Strategi zon kelabu membolehkan Iran memperluas pengaruhnya di rantau Asia Barat di samping mengehadkan kuasa Washington tanpa mencetuskan konflik berskala besar yang berpotensi merugikan kedua-dua pihak.

Walaupun AS sering dilihat sebagai kuasa dunia yang dominan, ia turut mengaplikasikan strategi zon kelabu sama ada secara langsung mahupun melalui sekutu-sekutunya bagi menangani ancaman yang timbul daripada negara pesaing seperti China dan Rusia.

Dalam konteks ini, strategi zon kelabu menjadi komponen penting kepada konflik berlarutan antara Washington dan Teheran.

Hal ini kerana, ia bukan sekadar pertikaian biasa, sebaliknya mencerminkan satu persaingan strategik di mana kedua-dua pihak memanfaatkan ruang zon kelabu untuk mencapai objektif masing-masing.

Zon kelabu bukan sekadar teori ketenteraan, tetapi tunjang yang membentuk sengketa Iran‑AS hingga menggugat kestabilan di Asia Barat dan turut memberi impak meluas kepada keamanan antarabangsa.

Strategi zon kelabu Iran

Perang asimetrik (asymmetric warfare): Iran membangunkan kekuatan yang boleh beri kesan besar walaupun bertindak dari posisi yang lemah berbanding musuh, namun tetap fokus pada kelemahan pihak lawan.

Proksi dan pengaruh melalui kumpulan sekutu di bawah Gerakan Paksi Penentangan Anti-Israel: Hizbullah di Lubnan dan pejuang Huthi di Yemen digerakkan untuk menekan musuh tanpa tentera Iran sendiri turun padang.

Serangan bukan konvensional: Lancar dron, roket jarak jauh dan taktik sabotaj yang turut beri impak tanpa cetuskan pertempuran besar.

Tekanan bukan ketenteraan: Aktif dalam operasi siber, propaganda dan bina hubungan strategik di Syria dan Iraq untuk memperkukuh dominasi bagi mengekang pengaruh AS.

Taktik lapuk AS

Sekatan ekonomi ketat dengan sasarkan sektor minyak dan perbankan Iran.

Tekanan diplomatik di arena antarabangsa: Mempengaruhi negara lain untuk memulaukan Teheran dengan mengehadkan hubungan ekonomi, politik atau keselamatan.

Kerjasama dengan sekutu di Asia Barat seperti Israel untuk memprovokasi dan menekan Iran secara berterusan tanpa peperangan besar.

Lancar operasi siber, kempen hasutan dan sebarkan propaganda.

Ancaman ketenteraan: Penempatan aset ketenteraan di Asia Barat sebagai amaran atau isyarat kekuatan supaya Iran tunduk dengan desakan Washington termasuk mengadakan rundingan untuk capai perjanjian.