Menteri Pertahanan Arab Saudi beri amaran kepada Trump

Iklan
Putera Khalid bin Salman memberi amaran kepada Washington bahawa kegagalan Trump untuk bertindak ke atas Iran berpotensi mengukuhkan lagi kedudukan kepimpinan Teheran. - Agensi

ISTANBUL – Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman memberi amaran kepada Washington bahawa kegagalan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk bertindak ke atas Iran berpotensi mengukuhkan lagi kedudukan kepimpinan Teheran, menurut laporan Axios pada Jumaat.

Memetik beberapa sumber, Axios melaporkan, Putera Khalid yang lebih dikenali sebagai KBS itu merupakan individu rapat dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman. 

Iklan
Iklan

Putera Khalid menyuarakan pandangan tersebut dalam beberapa taklimat tertutup di Washington ketika ketegangan serantau terus meningkat dan spekulasi mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan AS terhadap Iran semakin memuncak.

Laporan itu menyatakan, kenyataan berkenaan menandakan perubahan ketara daripada pendirian awam Arab Saudi yang sebelum ini menekankan pendekatan berhati-hati dan memberi amaran terhadap sebarang tindakan yang boleh mencetuskan peningkatan konflik.

Iklan

Tiga minggu lalu, Putera Mahkota Mohammed bin Salman dilaporkan menggesa Trump supaya mengelakkan tindakan ketenteraan, dengan memberi amaran mengenai risiko tercetusnya konflik serantau yang lebih luas.

Amaran tersebut dikatakan antara faktor yang menyumbang kepada penangguhan sebarang serangan pada ketika itu.

Iklan

Menurut laporan itu lagi, Putera Khalid berada di Washington bagi mengadakan perbincangan ketika AS memperkukuh kehadiran tenteranya di rantau Teluk.

Walaupun Trump telah mengarahkan peningkatan ketara kekuatan ketenteraan AS di kawasan berkenaan, pegawai Rumah Putih menegaskan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan saluran diplomasi masih terbuka.

Menurut Axios, rundingan langsung yang serius antara AS dan Iran ketika ini dilaporkan tidak berlaku, malah pegawai AS menyatakan Teheran dilihat enggan memenuhi tuntutan yang dikemukakan Washington.

Menteri Pertahanan Arab Saudi itu turut mengadakan pertemuan di Rumah Putih pada Khamis bersama beberapa pegawai kanan AS, termasuk Setiausaha Negara, Marco Rubio; Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth; utusan khas Rumah Putih, Steve Witkoff dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine.

Sumber memaklumkan kepada Axios bahawa perbincangan berkenaan tertumpu terutamanya kepada kemungkinan serangan ketenteraan AS ke atas Iran.

Namun, Putera Khalid dilaporkan meninggalkan pertemuan itu tanpa memperoleh gambaran jelas mengenai strategi atau hala tuju pentadbiran Trump.

Dalam satu lagi sesi taklimat tertutup bersama pakar badan pemikir dan wakil pertubuhan Yahudi, menteri berkenaan dilaporkan berkata, kegagalan untuk bertindak secara ketenteraan selepas beberapa minggu ancaman hanya akan 'memberanikan rejim' di Teehran.

Bagaimanapun, beliau turut mengakui keperluan untuk mengurus risiko peningkatan konflik di peringkat serantau.

Secara terbuka, Arab Saudi terus mengekalkan pendirian berhati-hati dengan menegaskan, penghormatan terhadap kedaulatan Iran dan keutamaan kepada penyelesaian diplomatik.

Riyadh juga menegaskan, mereka tidak akan membenarkan ruang udaranya digunakan bagi sebarang serangan terhadap Iran.

Axios melaporkan, pegawai Arab Saudi kini dilihat berada dalam dilema antara kebimbangan bahawa serangan AS boleh mencetuskan kesan buruk yang serius di rantau itu dan ketakutan bahawa pendekatan menahan diri akan menyebabkan Iran muncul dalam kedudukan yang lebih kukuh. - Agensi