KETIKA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun Satu secara sukarela bermula tahun hadapan, pelbagai reaksi diterima.
Ada yang bersetuju kerana melihatnya sebagai satu pilihan kepada ibu bapa, dan ada juga yang berpendapat supaya lebih banyak kajian serta perbincangan dibuat sebelum keputusan dilaksanakan.
Namun begitu, kerajaan dilihat serius dalam menangani perkara ini dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
Antara langkah awal yang boleh dilihat adalah tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil 20,000 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 baharu secara Contract of Service.
Pengambilan ini dibuat bagi memenuhi keperluan segera guru di sekolah seluruh negara, terutamanya apabila bilangan murid dijangka meningkat.
Inisiatif pengambilan guru baharu ini juga adalah sebahagian persediaan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.
Ini menunjukkan bahawa KPM tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa, sebaliknya merancang lebih awal supaya sistem pendidikan negara berada dalam keadaan bersedia dari segi tenaga pengajar.
Pengambilan ramai guru baharu ini juga satu langkah yang baik kerana ia membuka peluang pekerjaan kepada ramai bakal guru yang telah lama menunggu penempatan.
Dalam masa yang sama, ia dapat membantu mengurangkan beban tugas guru-guru sedia ada yang berdepan dengan kelas yang besar dan tanggungjawab kerja yang semakin bertambah. Kehadiran guru baharu juga dapat memberi nafas dan semangat baharu kepada warga sekolah.
Difahamkan, bagi memastikan kualiti guru terus terjaga, calon yang terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM mengikut bidang masing-masing.
Ini penting bagi memastikan guru yang ditempatkan benar-benar bersedia dan mempunyai kemahiran yang diperlukan.
Harapannya, pengambilan ini bukan sekadar untuk mengisi kekosongan jawatan, tetapi mampu menjadi pemangkin kepada penambahbaikan sistem pendidikan secara menyeluruh.
Dengan bimbingan berterusan, guru-guru baharu ini diharap dapat menyumbang kepada pembentukan generasi pelajar yang lebih berilmu, berakhlak dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.