ISU MyNIISe, MyBorderPass dan MyDigitalID mungkin nampak seperti masalah teknikal semata-mata.
Namun sebenarnya ia membuka gambaran lebih besar tentang keadaan transformasi digital kerajaan hari ini yang terlalu banyak aplikasi, terlalu banyak pintu masuk, dan terlalu sedikit penyelarasan.
Kontroversi tercetus apabila rakyat mempersoalkan keperluan mendaftar beberapa aplikasi berbeza untuk urusan yang hampir sama, khususnya berkaitan pelepasan sempadan.
Kekeliruan meningkat apabila setiap sistem mempunyai fungsi, proses dan keperluan pengesahan tersendiri. Bagi pengguna biasa, ini bukan inovasi, tetapi beban.
Walaupun kerajaan menjelaskan MyNIISe ialah platform tunggal jangka panjang manakala MyBorderPass hanya penyelesaian sementara, polemik ini mendedahkan satu masalah lama yang belum selesai iaitu pembangunan sistem digital kerajaan berlaku secara berasingan dan sukar difahami rakyat.
Jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada November 2025 menunjukkan skala sebenar isu ini. Sebanyak 1,433 aplikasi digital telah dibangunkan oleh sektor awam dengan kos mencecah RM1.46 bilion.
Data daripada Sistem Repositori Aplikasi Sektor Awam (RASA) ini menjelaskan mengapa satu urusan mudah sering memerlukan beberapa aplikasi berlainan.
Namun realitinya, pengguna terpaksa mengisi maklumat peribadi berulang kali dalam pelbagai aplikasi walaupun data yang sama telah diberi sebelum ini.
Mereka perlu mengingati banyak kata laluan, menanggung penggunaan ruang telefon, dan pada masa sama bimbang soal keselamatan data peribadi.
Isu kos pula tidak boleh dipandang ringan. Pengurusan MySejahtera sahaja melibatkan perbelanjaan besar walaupun aplikasi dan datanya milik kerajaan.
Apabila sistem dibangunkan secara silo, risiko pertindihan kos dan beban penyelenggaraan jangka panjang semakin meningkat.
Hasrat kerajaan untuk menyatukan perkhidmatan melalui MyGOV Malaysia wajar dipuji. Namun persoalan, adakah ia benar-benar satu pintu masuk tunggal, atau sekadar satu lagi gerbang baharu dalam negara yang sudah terlalu banyak gerbang digital.