Semua mata tertumpu kepada FAM

Iklan
Pada 28 Januari ini menjadi detik penting untuk masa depan FAM dalam menentu arah bola sepak negara. Foto hiasan

HARI Rabu, 28 Januari bukan tarikh biasa dalam kalendar bola sepak negara. Ia dilihat sebagai detik yang boleh menentukan sama ada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih laluan perubahan atau terus berdepan gelora keyakinan yang membebankan.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang dijadualkan berlangsung esok menjadi tumpuan, bukan kerana agenda rutin tetapi kerana kemungkinan berlakunya peralihan kepimpinan yang signifikan.

Iklan
Iklan

Sejak beberapa minggu lalu, khabar mengenai pengunduran Exco secara kolektif berlegar dan menjadi perbualan hangat dalam landskap bola sepak tempatan.

Walaupun FAM memilih pendekatan berhati-hati dan meminta semua pihak menunggu keputusan rasmi, suasana tidak menentu ini sukar disangkal.

Iklan

Tekanan daripada penyokong, pemerhati dan pemegang taruh semakin ketara, dipacu oleh isu pemalsuan dokumen yang bukan sahaja mencemarkan imej badan induk itu, malah menggugat asas kepercayaan yang dibina sekian lama.

Lebih membimbangkan, ketidaktentuan ini turut memberi kesan kepada perancangan jangka panjang termasuk pembangunan akar umbi, kestabilan liga dan keyakinan rakan strategik terhadap tadbir urus bola sepak negara.

Iklan

Penafian terhadap campur tangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta penubuhan jawatankuasa normalisasi mungkin meredakan sebahagian keresahan, namun persoalan lebih besar masih belum terjawab.

Apakah langkah konkrit yang akan diambil untuk memulihkan kredibiliti dan memperbetulkan hala tuju pengurusan? Di sinilah makna sebenar hari Rabu itu terletak.

Keputusan yang bakal dicapai tidak boleh bersifat reaktif atau bersandarkan tekanan semata-mata. Jika perubahan dipilih, ia perlu disusuli pelan pembaharuan yang jelas, telus dan bertanggungjawab.

Jika kepimpinan sedia ada dikekalkan, komitmen baharu perlu dizahirkan dengan tindakan, bukan sekadar kenyataan.

Apa pun, esok merupakan hari yang menjadi ukuran sejauh mana FAM bersedia memikul amanah dengan lebih berwibawa.

Masa depan sukan ini bergantung kepada apa yang berlaku pada hari tersebut.