PEMBUKAAN permohonan UPU bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kembali mencetuskan perbincangan tahunan tentang hala tuju pendidikan selepas sekolah.
Dalam keterujaan memilih program ijazah, diploma dan matrikulasi, satu persoalan besar terus berulang: di manakah kedudukan sebenar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sistem pendidikan negara?
Walaupun kerajaan berulang kali menegaskan TVET sebagai tunjang pembangunan modal insan dan ekonomi negara, realitinya masih wujud persepsi bahawa laluan ini hanyalah pilihan sampingan atau lebih membimbangkan, sekadar 'penyendal' kepada pelajar yang memperoleh keputusan SPM biasa-biasa sahaja.
Persepsi ini bukan sahaja tidak adil, malah merugikan negara. Hakikatnya landskap pekerjaan hari ini semakin menuntut kemahiran praktikal, kepakaran teknikal dan kebolehan menyelesaikan masalah secara langsung, ciri utama yang menjadi kekuatan pendidikan TVET.
Sektor seperti pembuatan pintar, automasi, tenaga boleh baharu, penyelenggaraan industri, hospitaliti dan teknologi makanan memerlukan tenaga mahir yang tidak semestinya lahir melalui laluan akademik konvensional.
Namun, kelemahan utama terletak pada naratif dan pendekatan. TVET sering dipromosikan sebagai alternatif terakhir, bukan pilihan strategik sejak awal.
Dalam proses permohonan UPU, ramai pelajar dan ibu bapa masih meletakkan program TVET di hujung senarai, bukan kerana tiada minat, tetapi kerana kurang kefahaman terhadap prospek kerjaya, kebolehpasaran dan laluan kenaikan kerjaya yang ditawarkan.
Lebih membimbangkan, sikap membezakan 'pelajar pandai' dan 'pelajar kemahiran' terus membelenggu sistem pendidikan.
Sedangkan negara maju telah lama mengiktiraf bahawa kecerdasan bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi melalui keupayaan mencipta nilai dan menyumbang kepada ekonomi.
Sudah tiba masanya TVET diangkat sebagai pilihan utama yang bermaruah, setara dengan pendidikan akademik.
Ini menuntut kerjasama semua pihak sama ada kerajaan, institusi pendidikan, industri, media dan masyarakat untuk mengubah naratif, memperkukuh jaminan pekerjaan serta memastikan kualiti latihan benar-benar memenuhi keperluan industri.