MyKad baharu perkukuh keselamatan negara

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

SHAH ALAM – MyKad dengan ciri keselamatan baharu yang akan diperkenalkan pada Jun ini dilihat sebagai langkah memperkukuhkan keselamatan dokumen negara, namun aspek kebocoran maklumat dalam agensi sendiri tidak boleh dipandang ringan.

Penganalisis Keselamatan dan Geopolitik dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mohamad Faisol Keling berkata, Malaysia antara negara terawal sejak hujung 1990-an menggunakan sistem maklumat bersepadu melalui kad pengenalan dan pasport.

Iklan
Iklan

Profesor Madya Dr Mohamad Faisol Keling

“Ketika kerajaan sering menaik taraf ciri keselamatan, perhatian juga perlu diberikan kepada kebocoran maklumat dari dalam agensi sendiri. Sebaik mana pun ciri keselamatan, aspek dalaman agensi tidak boleh diabaikan.

Iklan

“Sebagai contoh dua tahun lalu, MyKad palsu dilaporkan dicetak oleh sindiket perdagangan manusia di negeri utara tanah air dengan harga rendah.

“Persoalannya bagaimana mesin pencetak yang memiliki teknologi dan maklumat tersebut boleh diperoleh sedangkan mesin itu hanya dikawal kerajaan dari segi pemilikan, tender atau jumlah mesin yang ada,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Akhbar ini pada Khamis melaporkan, MyKad baharu berupaya memperkukuhkan tahap keselamatan kad pengenalan warganegara Malaysia, selaras dengan perubahan teknologi dan keperluan semasa.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kompetensi Keselamatan Siber dan Forensik Digital, Dr Mohsen Mohamad Hata, pembaharuan itu selari dengan usaha membanteras pemalsuan kad pengenalan selain merupakan kuasa baharu dalam ekosistem digital dan tadbir urus moden termasuk pemberian bantuan atau subsidi kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohamad Faisol berkata, tangkapan pendatang tanpa izin (PATI) baru-baru ini menunjukkan ada individu yang memiliki MyKad.

“Walaupun palsu, persoalannya bagaimana mesin pencetak MyKad dan data boleh berada dalam tangan sindiket sedangkan mesin cetak itu adalah barang kawalan.

“Situasi ini menunjukkan kerajaan perlu meningkatkan ciri keselamatan MyKad termasuk meneliti lompang dan ketirisan dalam agensi sendiri agar keselamatan awam tidak terjejas dan tidak merugikan wang rakyat,” katanya.

Justeru jelasnya, perkara yang perlu diberi penekanan adalah sebaik mana teknologi yang dimiliki, sekiranya terdapat individu yang menyalahgunakan kuasa dalam badan pelaksana, ia boleh membawa kepada kegagalan sistem.

Ujarnya, melihat kepada pengalaman China baru-baru ini, walaupun memiliki aset keselamatan setaraf kuasa besar dunia, negara itu akhirnya terdedah apabila seorang jeneral tertinggi didakwa menjual maklumat rahsia negara kepada musuh.

REAKSI

Ain Haryati, Nur Baiduri, Muhammad Khalish

“Saya setuju kerana langkah ini bertujuan memastikan subsidi kerajaan benar-benar dinikmati oleh rakyat, serta mengekang ketirisan dan penyalahgunaan bekalan bersubsidi. Sistem perlaksanaan juga perlu dihalusi supaya adil dan saksama serta jangan menyusahkan rakyat yang memerlukan.”

- Peniaga, Nur Baiduri Assan, 36

“Langkah KPDN ini dapat mengelakkan ketirisan subsidi, memastikan bantuan kerajaan sampai kepada sasaran sebenar serta membantu kawal kos sara hidup rakyat. Namun begitu, penguatkuasaan perlu dibuat secara adil dan berhemah supaya tidak menyusahkan peniaga kecil.”

- Exco Majlis Belia Negeri Sembilan, Ain Haryati Amira Ahmad Ridzwan, 21

“Tindakan ini bagus dan ia memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia sendiri sekali gus dapat elak berlaku ketirisan namun perkara lain yang perlu diberi perhatian juga terhadap pelaksanaannya terutamanya warga emas.”

- Peniaga, Muhammad Khalish Zachariah, 36