Keterjaminan makanan bukan slogan, tapi keberanian politik perbetul sistem

Iklan
Mahfuz. Kredit Facebook/ Mahfuz Omar.

SHAH ALAM - Kejayaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) tidak akan ditentukan oleh keindahan dokumen atau jumlah inisiatif yang diumumkan semata-mata, sebaliknya keberanian politik untuk membetulkan struktur sistem makanan negara.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya menyambut baik peluncuran DKMN 2030 dirangka Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selain menganggap ia langkah penting dan menandakan bahawa isu makanan bukan lagi sekadar pinggiran, tetapi soal keselamatan, keadilan sosial serta kedaulatan negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, realiti kenaikan harga makanan hari ini bukan semata-mata berpunca daripada peladang atau kekurangan bekalan, tetapi struktur pasaran yang membenarkan manipulasi, monopoli dan ketidakseimbangan kuasa dalam rantaian pembekalan.

"Jika isu orang tengah dan kartel tidak ditangani secara serius, keterjaminan makanan akan kekal sebagai slogan, bukan realiti.

Iklan

"Lebih membimbangkan, peladang masih kekal sebagai kumpulan paling berisiko dalam sistem ini menanggung kos, ketidaktentuan cuaca dan ketidaktentuan harga, sementara nilai keuntungan tertumpu di hujung rantaian.

"Selagi peladang hidup atas ihsan subsidi, selagi itulah sistem makanan negara rapuh," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Iklan

DKMN 2030 diluncurkan pada Khamis lalu oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan tumpuan kepada pemeliharaan kuasa beli rakyat serta pengurangan kebergantungan pada import selain peningkatan eksport.

Selain itu, melahirkan pertanian yang cekap dan produktif serta membina sistem agromakanan mampan dan berdaya tahan.

Mengulas lanjut, Mahfuz berpandangan, DKMN 2030 perlu difahami sebagai isu akhlak dan keadilan, bukan ekonomi semata-mata.

Tambahnya, keterjaminan makanan bukan berlandaskan kepada pasaran, ia soal melindungi manusia.

Jelasnya lagi, dalam mana-mana peradaban masyarakat, makanan tidak boleh dijadikan alat eksploitasi.

"Pembaziran, sorok bekalan dan manipulasi harga adalah kegagalan moral yang mesti ditangani dengan tegas.

"Anak muda pula tidak menolak pertanian, mereka menolak masa depan tanpa maruah ekonomi. Tanpa reformasi yang menjadikan pertanian sebagai sektor bernilai tinggi, berteknologi dan berasaskan pemilikan ekuiti, dasar ini akan gagal menarik generasi pelapis.

"Akhirnya, keterjaminan makanan sebenar bukan diukur apabila laporan tahunan kelihatan cantik, tetapi bila rakyat tidak cemas membeli makanan, peladang hidup bermaruah dan negara tak panik ketika dunia berdepan krisis," ujar beliau.