Sewa tapak bazar Ramadan: DBKL perketat penguatkuasaan, elak orang tengah kaut untung

Iklan
Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperketat penguatkuasaan bagi memastikan tiada penglibatan orang tengah atau ejen yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan dalam pengurusan sewa tapak bazar Ramadan 2026 di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah menurunkan kos sewa tapak bazar Ramadan tahun ini daripada RM500 kepada RM400, selari dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup terutamanya di ibu kota.

Iklan
Iklan

"Pihak kerajaan telah mengambil langkah mengurangkan kadar (sewa tapak bazar Ramadan 2026), seterusnya kita akan buat ialah penguatkuasaan untuk pastikan tidak ada orang tengah yang buat sebagai ejen bagi mengaut keuntungan berlebihan.

"Kita nak pastikan kos sara hidup turun dan menyenangkan warga Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kuala Lumpur Madani di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.

Penganjuran bazar Ramadan tahun ini akan diadakan di sembilan lokasi bawah seliaan DBKL manakala 32 lokasi dikendalikan persatuan penjaja.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, penambahbaikan infrastruktur mesra orang kurang upaya (OKU) di Wilayah Persekutuan memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menerusi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk mengadakan sesi libat urus bersama komuniti OKU di beberapa kawasan sekitar ibu negara.

"Hasrat kita adalah supaya banyak lagi infrastruktur untuk pejalan kaki khasnya boleh lebih mesra golongan OKU, tetapi yang paling penting untuk OKU bermula dengan pendaftaran dulu.

"Jadi ibu bapa pastikan daftarkan anak-anak yang OKU kerana kad OKU itu penting. Semuanya bermula dengan pendaftaran kerana bila mendaftar, data itu wujud, baru banyak pihak berkuasa boleh merancangkan infrastruktur dan manfaat untuk golongan mereka,” katanya. - Bernama