ATM guna AI kesan ketirisan, penyelewengan perolehan

Iklan
Mohamed Khaled (tengah) pada Program Kampung Angkat Madani Mindef di Kampung Tuan Seh, Tanjung Sedili pada Sabtu.

KOTA TINGGI - Kementerian Pertahanan akan memperkukuh penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem tadbir urus Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai langkah pencegahan jangka panjang bagi mengelakkan isu rasuah dan salah guna kuasa berulang.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu bukan hanya tertumpu kepada tindakan terhadap individu, sebaliknya melibatkan penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem dan proses dalam ATM serta kementerian.

Iklan
Iklan

“Kita bukan hanya melihat kepada anggota, tetapi kepada sistem. Sistem dan proses ini perlu diperbaiki supaya lebih telus, berintegriti dan sukar dimanipulasi,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Kampung Angkat Madani Mindef di Kampung Tuan Seh, Tanjung Sedili pada Sabtu.

Mohamed Khaled (tengah) pada Program Kampung Angkat Madani Mindef di Kampung Tuan Seh, Tanjung Sedili pada Sabtu.

Iklan

Ahli Parlimen Kota Tinggi menambah, antara langkah utama yang akan dilaksanakan termasuk pendigitalan penuh proses perolehan, penggunaan AI bagi analisis harga dan keperluan aset pertahanan, serta penerapan prinsip amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pengurusan kementerian dan ATM.

“Melalui pendigitalan, kita boleh mengesan perolehan yang dibuat di pelbagai peringkat, mengenal pasti sama ada sesuatu kontrak berulang kali diberikan kepada syarikat yang sama atau syarikat yang mempunyai pemilikan berkaitan.

Iklan

"Penggunaan AI pula membolehkan kementerian menilai sama ada sesuatu harga perolehan adalah munasabah dengan membuat perbandingan dengan amalan negara lain, selain mengenal pasti sebarang kecenderungan atau corak mencurigakan dalam proses membuat keputusan.

“AI boleh membantu menentukan sama ada sesuatu barangan itu sesuai atau tidak, mahal atau tidak, dan sama ada wujud kecenderungan tertentu dalam proses perolehan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian juga sedang mempertimbangkan penubuhan unit khas bagi mengendalikan aduan serta pemantauan dalaman secara berterusan bagi memastikan langkah pencegahan yang diambil benar-benar berkesan.

Mengulas pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu, Mohamed Khaled berkata, pelantikan tersebut mampu memulihkan imej dan reputasi ATM.

"Pelantikan itu dibuat dalam suasana mencabar dan memerlukan kerjasama erat antara kepimpinan ATM dan kementerian.

“Saya percaya Panglima Angkatan Tentera yang baharu akan bersama kementerian dalam usaha memulihkan imej dan reputasi ATM, selain memastikan integriti dan tadbir urus yang baik terus diperkukuh," ujarnya.