BACHOK – Lebih 30 peniaga kaki lima di kawasan pakir di Pasar Jelawat di sini menyuarakan bantahan terhadap arahan perpindahan ke Pasar Baru Jelawat dengan menegaskan mereka mahu terus berniaga di lokasi asal kerana lebih strategik dengan jumlah pelanggan yang ramai.
Seorang peniaga cendawan, Haslina Ya, 45, berkata, peniaga menerima surat daripada Pejabat Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam pada 19 Disember lalu yang memanggil peniaga untuk menghadiri mesyuarat berhubung cadangan perpindahan tersebut namun kesemua peniaga yang hadir menyatakan tidak bersetuju untuk berpindah ke pasar baharu yang terletak kira-kira dua kilometer dari pasar lama.
Menurutnya, satu lagi pertemuan diadakan pada 18 Januari lalu untuk membahagikan tapak jualan di Pasar Baru Jelawat juga di kawasan terbuka seperti di kawasan pakir di pasar lama dan mereka diarah pindah pada Ahad.
“Peniaga melibatkan penjual ikan, sayur dan buah yang sudah lama berniaga di tapak pakir kereta di pasar lama dan membayaran tapak bermula RM40 setahun selain ada pemborong berlesen RM250 setahun.
“Hanya kami yang diarah pindah esok manakala peniaga lain seperti peniaga goreng pisang tidak pula,” katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Haslina mendakwa, lokasi pasar baharu yang sunyi, kedudukan di hujung kawasan bandar baharu serta risiko banjir menyebabkan peniaga sukar menjana pendapatan.
“Percubaan berpindah pernah dibuat dua tahun lalu, semasa pasar tersebut mula dibuka dan waktu itu tiada paksaan, mana-mana peniaga yang nak, boleh pindah.
“Lebih 20 peniaga mencuba tempat baharu tetapi rugi, nak dapat RM10 sehari pun susah, sebab tu, kami datang balik niaga di pasar lama ini,” katanya.
Seorang lagi peniaga sayur, Hasanah Mohd Yusoff, 47, berkata, dia hanya mampu bertahan beberapa hari di pasar baharu sebelum kembali berniaga di pasar lama.
“Empat hari berniaga, jualan tak sampai RM10.
“Sayur layu terpaksa dibuang, berbanding jualan di pasar lama lebih laris,” katanya.
Menurutnya, walaupun pengecualian sewa dibuat selama tiga bulan di pasar baharu tersebut bermula pada Ahad, kebanyakan peniaga tetap tidak mahu berpindah kerana ketiadaan pelanggan.
“Sewa petak sekarang kami bayar cuma RM40, di sana pula perlu sewa tapak RM150 sebulan,” katanya.
Peniaga sayur dan buah, Mohd Zulhafiza Jaafar, 44, yang berniaga selama 18 tahun berkata, perpindahan itu menyebabkan mereka kehilangan pelanggan tetap.
“Di sini kawasan tumpuan orang ramai, sana sunyi.
“Kami ada pelanggan tetap, kalau pindah memang hilang sumber pendapatan dari pelanggan lama,” katanya.
Sementara itu, Norazmi Shafei, 56, berkata, isu infrastruktur turut menjadi kebimbangan peniaga kerana tapak baharu ditawarkan juga di kawasan pakir pasar baharu.
“Pindah itu tidak salah, tetapi tempat baharu pun tiada bumbung
“Lebih baik kami terus niaga di sini, tak ada bumbung pun tapi ramai pembeli,” katanya.
Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam berkait perkara ini.