Pemuda kudung, buta akibat letupan mercun kini guru al-Quran Braille

Iklan
Eiman Najwan (kanan) mengajar dua orang dewasa di pusat pengajian al-Quran di Bunut Payong. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Seorang pemuda yang buta dan kudung tangan kiri angkara insiden tragis letupan mercun buatan sendiri lapan tahun lalu kini bangkit menjadi guru al-Quran Braille, mengajar golongan cacat penglihatan membaca kalam ALLAH.

Eiman Najwan Anwar Fuad, ketika ini yang sudah berusia 22 tahun, aktif mengajar asas serta bacaan al-Quran Braille kepada orang buta dalam kalangan dewasa dan warga emas, hasil penguasaan al-Quran Braille yang dipelajarinya sejak 2023.

Iklan
Iklan

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, minat mendalami al-Quran tidak pernah pudar meskipun berdepan kekangan fizikal, malah kerinduan terhadap kalam ALLAH menjadi pendorong utama untuk bangkit selepas melalui tempoh kemurungan hampir setahun.

“Dulu saya boleh membaca al-Quran dengan melihat guna mata.

Iklan

“Apabila hilang penglihatan, saya rasa kosong, rindu sangat pada al-Quran dan akhirnya al-Quran juga yang menarik saya kembali bersemangat,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Perasmian Pusat Pengajian Al-Quran Pertis, di sini, pada Rabu.

Eiman Najwan mula mempelajari al-Quran Braille dengan bimbingan arwah ustaz Mohd Nazri Nawi dan berjaya menguasai asas huruf Braille serta Jawi dalam tempoh singkat sebelum menjadi tenaga pengajar Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Kelantan sepenuh masa sejak 2024.

Iklan

Gambar Eiman Najwan semasa dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu lapan tahun lalu kerana terkena letupan mercun.

Menceritakan kembali, detik mercun buatan sendiri meletup pada jam 11 malam, 29 Mei 2018 itu, katanya, dia yang ketika itu berusia 14 tahun bermain bersama dua rakan berhampiran rumahnya di Kampung Panji di sini dalam bulan Ramadan.

“Belerang dimasukkan dalam jumlah yang sangat banyak dalam botol kaca, lepas itu, botol meletup dengan kuat atas bara api.

“Saya kena letupan dan berlumuran darah sebelum dibawa ke hospital,” katanya.

Ketika kejadian itu, ibunya, Rozita Zakaria, 49, yang sedang melipat kain di rumah terdengar letupan tersebut dan keluar sebelum melihat seorang budak lelaki jatuh bersujud dalam keadaan berlumuran darah.

Rozita terus memeluknya tanpa menyedari mangsa adalah anak sendiri sebelum pengsan kerana melihat terlalu banyak darah.

Eiman Najwan yang tidak lagi dapat melihat. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Selepas sedar, baru dia mengetahui mangsa mercun yang parah itu adalah anaknya, Eiman Najwan.

Letupan tersebut menyebabkan tangan kiri Eiman Najwan hancur, manakala matanya buta dengan belah kanan buta sepenuhnya dan mata kiri hanya nampak cahaya.

“Saya jalani pembedahan plastik termasuk ambil kulit dari bahagian buku lali dan ditampal pada dahi yang cedera.

“Sekarang, saya dah pulih dengan mata yang dah tak nampak, tapi tak apa, dapat baca al-Quran Braille dan tolong orang buta lain belajar mengaji sama-sama,” katanya.