Banglo wakaf jadi pusat pengajian al-Quran orang buta pertama MAIK

Iklan
Tengku Mohamad Rizam (belakang, tengah) melawat banglo wakaf yang disediakan kepada golongan buta untuk mengaji al-Quran. Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid

KOTA BHARU – Fungsi wakaf sebagai pemangkin pendidikan Islam terus diperkasa apabila sebuah banglo yang diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kampung Bunut Payong di sini dijadikan pusat pengajian al-Quran untuk golongan cacat penglihatan.

Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, penubuhan pusat pengajian pertama MAIK itu hasil kerjasama erat pihaknya dengan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Kelantan bagi memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) tidak dipinggirkan dalam pendidikan agama.

Iklan
Iklan

“Operasi kelas al-Quran Braille sebelum ini diadakan di premis sewaan di Padang Mokkan.

“Pemindahan operasi ke banglo wakaf yang lebih selesa dan kondusif ini diharap membantu lebih ramai OKU penglihatan menimba ilmu al-Quran dengan lebih efektif,” katanya selepas dalam ucapan perasmian Pusat Pengajian Al-Quran Pertis di sini pada Rabu.

Iklan

Banglo wakaf yang dijadikan pusat pengajian untuk golongan buta. Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid

Turut hadir, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan wakil pewakaf, Datin Kartiny Abdul Ghani.

Iklan

Kata Tengku Mohamad Rizam, pusat pengajian itu menempatkan 22 pelajar OKU penglihatan terdiri daripada 10 lelaki dan 12 wanita berusia antara 23 hingga 72 tahun.

“Kelas pengajian dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu pengenalan asas Braille, bacaan Iqra’ dan al-Quran.

“Pembelajaran dikendalikan tiga tenaga pengajar yang juga OKU buta termasuk seorang yang dilantik sebagai guru agama oleh MAIK,” katanya.

Golongan OKU penglihatan yang mempelajari al- Quran Braille. Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid

Menurut beliau, MAIK turut menyumbang peralatan bagi kelangsungan kelas pengajian itu merangkumi empat unit peranti e-Braille bernilai RM9,000 setiap satu yang berfungsi sebagai komputer bagi OKU penglihatan untuk membaca, menaip dan mendengar kandungan al-Quran melalui satu peranti.

“Selain itu, empat mesin taip Braille atau Perkins Brailler turut disumbangkan dengan anggaran harga antara RM3,500 hingga RM5,000 setiap unit.

“Jumlah keseluruhan sumbangan MAIK bagi peralatan pengajian adalah RM50,660,” katanya.

Beliau menekankan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang menimba ilmu.

“Ilmu al-Quran yang bermanfaat adalah kunci meningkatkan martabat seseorang di sisi ALLAH.

“Setinggi penghargaan juga kepada pewakaf, Allahyarham Datuk Dr Fathil Mohamed yang mewakafkan banglo ini hingga boleh dijadikan tempat OKU belajar al-Quran,” ujar beliau.