Amaran keras PM satu isyarat ke arah penambahbaikan berterusan

Iklan
Adnan Mat

PUTRAJAYA - Amaran keras Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan bertujuan untuk menghukum, sebaliknya menjadi satu isyarat jelas ke arah penambahbaikan berterusan, pengukuhan akauntabiliti dan budaya kerja berprestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan turut memerlukan sokongan menyeluruh termasuk dari segi kepimpinan berwibawa, sistem kerja yang cekap serta kebajikan warga perkhidmatan awam yang sentiasa diberi perhatian.

Iklan
Iklan

"Cuepacs berpandangan bahawa ketegasan ini mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan penguatkuasaan negara sentiasa berada pada tahap terbaik, berintegriti serta memenuhi jangkaan rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas teguran keras Anwar kepada ketua agensi penguatkuasa untuk memperbaiki kelemahan susulan penyeludupan, pencerobohan dan salah laku serta kegiatan gelap yang masih berlaku dalam negara meskipun beliau sudah tiga tahun mengambil alih pucuk pimpinan.

Iklan

Perdana Menteri yang sudah hilang sabar dengan situasi itu turut memberi tempoh selama seminggu agar pegawai kanan bekenaan mempertimbangkan untuk pertukaran jawatan sekiranya tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

Sehubungan itu, Cuepacs menyeru semua penjawat awam agar menjadikan kenyataan YAB Perdana Menteri ini sebagai pemangkin untuk mempertingkatkan mutu kerja, memperkukuh kepercayaan rakyat serta terus menyokong aspirasi kerajaan dalam membina tadbir urus yang telus, cekap dan berkesan demi kepentingan negara.

Iklan

"Setiap pegawai bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh profesionalisme dan integriti," jelas beliau.