PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sejumlah 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 baharu secara perkhidmatan kontrak (CoS) diambil bagi memenuhi keperluan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata, inisiatif pengambilan guru baharu itu adalah merupakan sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula pada tahun hadapan.
"Hebahan pengambilan guru akan dilakukan pada 23 Februari dan permohonan dibuka bagi tempoh 2 hingga 20 Mac ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, proses pengambilan guru baharu ini mendapat kerjasama penuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) turut menetapkan proses saringan temuduga seawal 27 April hingga 14 Mei dan maklumat lanjut akan dikongsikan dalam masa terdekat.
"Bagi memastikan aspek kompetensi guru terpelihara, calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM dalam pelbagai bidang pengkhususan.
Inisiatif ini adalah cerminan komitmen berterusan kerajaan bagi meningkatkan mutu pendidikan negara demi manfaat anak-anak Malaysia," jelas Mohd Azam.
Terdahulu, KPM memaklumkan pendaftaran murid Tahun 1 bagi Kalendar Akademik Tahun 2027 akan dilaksanakan secara dalam talian bermula 15 Februari hingga 31 Mac depan.
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa murid akan memasuki alam persekolahan Darjah 1 pada usia enam tahun bermula tahun depan secara sukarela.
Dalam ucapan Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, Anwar berkata, pendidikan pra sekolah yang diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bermula pada usia lima tahun.