KLANG – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tidak mahu menetapkan tarikh sebenar pembukaan Laluan LRT Shah Alam (LRT3), sebaliknya memberi keutamaan penuh kepada penyempurnaan setiap fasa ujian bagi memastikan keselamatan dan kestabilan sistem berada pada tahap maksimum.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Strategi dan Pembangunan), Dr Prodyut Dutt berkata, pendekatan itu diambil bagi mengelakkan sebarang risiko teknikal berulang apabila perkhidmatan tersebut mula digunakan oleh orang ramai.
Menurutnya, setiap peringkat pengujian perlu diselesaikan sepenuhnya tanpa kompromi sebelum laluan itu diserahkan untuk operasi sebenar.
"Kami tidak mahu terikat dengan tarikh tertentu, sebaliknya fokus kepada hasil kerja yang mesti mencapai tahap 100 peratus sebelum sebarang keputusan diambil.
"Ujian larian tanpa gagal (FFR) perlu berjaya sepenuhnya dan hanya selepas fasa trial ops bermula, barulah Prasarana boleh mempertimbangkan pengumuman tarikh jangkaan pembukaan," katanya pada sesi taklimat media di Bangunan Pusat Kawalan Operasi (OCC), Depoh Johan Setia di sini pada Jumaat.
Mengulas perkembangan teknikal, beliau berkata, kesemua 33 isu yang dikenal pasti sebelum ini telah diselesaikan sepenuhnya melalui penambahbaikan sistem.
"Isu tersebut melibatkan ketepatan hentian tren, operasi pintu serta kejadian brek kecemasan. Semua masalah berkenaan berjaya ditangani menerusi tampalan perisian yang dibangunkan vendor Siemens dalam tempoh sebulan lalu," jelasnya.
Prodyut turut memaklumkan bahawa kemajuan FFR bagi kumpulan pertama yang melibatkan enam tren kini telah mencapai 99 peratus.
"Hanya sebuah tren masih menunggu pengesahan akhir dan dijangka selesai dalam tempoh dua hari,” katanya.
Menurutnya lagi, kumpulan kedua pula melibatkan lapan tren dengan kemajuan direkodkan pada tahap 82 peratus dan disasarkan siap pada awal Februari. Manakala kumpulan ketiga, yang turut membabitkan lapan tren, akan memulakan ujian sebaik sahaja dua kumpulan awal disahkan selesai.
"Keseluruhan kitaran FFR dijangka berakhir pada 28 Februari depan," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Prasarana telah menempatkan seramai 800 kakitangan bagi laluan berkenaan, merangkumi sektor teknikal, operasi, keselamatan dan stesen.
"Daripada jumlah itu, 80 peratus merupakan rekrut baharu yang akan dibimbing oleh baki 20 peratus kakitangan berpengalaman bagi memastikan standard perkhidmatan Rapid Rail terus terpelihara," tambahnya.