SETIAP kali berlaku kemalangan maut melibatkan lumba haram, skripnya hampir sama. Jalan raya bertukar medan perlumbaan. Nyawa melayang. Media melaporkan. Orang ramai mengecam dan akhirnya, ibu bapa tampil dengan wajah sugul, air mata mengalir, menyesal tidak bertepi.
Persoalannya, mengapa penyesalan itu hanya datang selepas anak sudah tidak bernyawa?
Hakikat yang pahit perlu diakui iaitu isu lumba haram bukan semata-mata kegagalan penguatkuasaan, tetapi juga kegagalan institusi keluarga. Ibu bapa tidak boleh terus berperanan sebagai penonton yang hanya tahu menyalahkan keadaan, rakan sebaya atau pihak berkuasa.
Dalam soal ini, ibu bapa perlu menjadi seperti polis trafik di rumah sendiri. Pantau, periksa dan ambil tahu.
Motosikal anak bukan sekadar kenderaan. Ia petunjuk. Ekzos bising, tayar kecil, lampu diubah suai, nombor pendaftaran pelik. Itu semua isyarat jelas. Jangan pura-pura tidak nampak.
Kalau polis boleh kesan motor ubah suai di jalan raya, mengapa ibu bapa tidak mampu mengesannya di halaman rumah sendiri?
Lebih membimbangkan, ada ibu bapa yang tahu anak keluar lewat malam, tetapi memilih untuk diam. Keluar rumah selepas tengah malam tanpa tujuan jelas bukan kebebasan. Itu red-flag!
Statistik kemalangan melibatkan remaja dan belia bukan cerita baharu. Hampir setiap minggu, ada sahaja laporan anak muda maut akibat rempuhan, terlanggar pembahagi jalan atau terbabas ketika berlumba. Hampir setiap kali itu juga, ibu bapa berkata, 'Kami tak sangka'.
Sebenarnya, tanda-tandanya sudah lama ada, cuma diabaikan.
Peranan ibu bapa bukan sekadar menyediakan makan minum dan tempat tinggal. Ia merangkumi kawalan, teguran dan ketegasan. Anak perlukan sempadan. Tanpa sempadan, keberanian mereka berubah menjadi kebinasaan.
Jangan serahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada sekolah, polis atau masyarakat.
Lebih malang, ada yang selepas tragedi, mula menyalahkan semua pihak termasuklah kerajaan, pihak berkuasa tempatan, bahkan pengguna jalan raya lain sedangkan kawalan paling awal bermula dari rumah.