Kaji selidik Sun Life: 64 peratus rakyat Malaysia pilih bekerja melepasi umur persaraan

Iklan
Ho Teck Seng.

KUALA LUMPUR – Persaraan di Malaysia menunjukkan sebahagian rakyat memilih atau terpaksa bekerja melepasi umur persaraan menurut dapatan terbaharu Kaji Selidik Persaraan Serantau Sun Life.

Tinjauan Retirement Reimagined: Asia’s Retirement Divide mendapati dua pertiga responden (64 peratus) menjangkakan akan terus bekerja melepasi umur persaraan, dengan 63 peratus menyatakan keputusan tersebut dibuat bagi menampung kos sara hidup dan memastikan kestabilan kewangan jangka panjang.

Iklan
Iklan

Sebahagian responden pula memilih untuk terus bekerja demi tujuan hidup (53 peratus), mengekalkan hubungan sosial (52 peratus) serta rangsangan mental (53 peratus).

Sementara itu, 79 peratus responden percaya persaraan seharusnya menjadi pilihan peribadi sekali gus menonjolkan jurang yang semakin ketara antara mereka yang mempunyai fleksibiliti kewangan dan sebaliknya, di saat Malaysia menuju ke arah masyarakat menua.

Iklan

Presiden dan Ketua Negara Sun Life Malaysia, Ho Teck Seng berkata, dapatan kaji selidik menunjukkan persaraan di Malaysia bukan lagi satu penanda aras yang tetap.

“Kami melihat jurang yang semakin melebar antara mereka yang bekerja demi kepuasan diri dan mereka yang bekerja kerana keperluan kewangan.

Iklan

“Tekanan ini paling ketara dalam kalangan generasi sandwic yang perlu mengimbangi keperluan pelbagai generasi secara serentak.

“Di Sun Life Malaysia, kami percaya keselamatan kewangan tidak seharusnya dibiarkan kepada nasib. Matlamat kami adalah untuk membantu rakyat Malaysia membina daya tahan kewangan supaya bekerja lebih lama sentiasa menjadi satu pilihan, bukannya satu keperluan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kaji selidik turut mengenal pasti dua laluan persaraan berbeza di seluruh Asia, iaitu Gold Star Planners yang bersedia dari segi kewangan dan mampu memilih bila serta bagaimana mereka berundur daripada dunia pekerjaan, serta Stalled Starters yang menangguhkan persaraan kerana tidak mampu untuk berhenti bekerja.

Dalam kalangan Gold Star Planners, meneruskan pekerjaan dilihat sebagai aspirasi dan pilihan yang dipacu oleh tujuan hidup, identiti dan kesejahteraan (68 peratus), berbanding Stalled Starters (46 peratus).

Sebaliknya, 16 peratus Stalled Starters tidak pasti sama ada mereka akan bekerja melepasi umur persaraan, berbanding 74 peratus Gold Star Planners yang menjangkakan akan terus bekerja atau telah berbuat demikian.

Bagi Stalled Starters yang merancang untuk bersara lebih lewat daripada jangkaan atau telah berbuat demikian, keperluan kewangan merupakan sebab paling lazim, dengan lebih separuh (67 peratus) menyatakan mereka menangguhkan persaraan kerana perlu menyimpan lebih banyak wang.

Namun, dalam kalangan Gold Star Planners, persaraan lewat lebih kerap didorong oleh pilihan berbanding keperluan kewangan.

Ramai menyatakan keinginan untuk kekal aktif secara fizikal atau mental sebagai faktor pendorong (44 peratus) manakala peratusan yang sama menyebut keseronokan terhadap aspek sosial dalam pekerjaan (44 peratus).

Tempoh bekerja yang lebih panjang bagi Gold Star Planners mencerminkan kawalan dan pilihan manakala bagi Stalled Starters ia lebih menggambarkan tekanan kewangan.

Dalam pada itu, kaji selidik tersebut turut menyorot peningkatan penggunaan kecerdasan buatan generatif dalam membuat keputusan kewangan sekali gus meningkatkan risiko perancangan persaraan secara kendiri tanpa bimbingan profesional.

Penggunaan ChatGPT dan Google Gemini hampir berganda sejak tinjauan lalu, meningkat daripada 10 peratus kepada 21 peratus.

Sebaliknya, kebergantungan kepada nasihat tradisional menunjukkan penurunan, dengan 29 peratus mendapatkan khidmat bank dan 31 peratus mendapatkan khidmat penasihat kewangan bebas berbanding masing-masing 35 peratus dan 37 peratus pada 2024.

Peralihan ini mencerminkan kemudahan digital dan rasa ingin tahu namun turut menekankan jurang literasi kewangan yang semakin melebar dalam konteks persaraan.

Pada masa sama, keselamatan kewangan kekal sebagai teras kepada sikap optimistik terhadap persaraan.

Dalam kalangan individu belum bersara yang menyatakan mereka menantikan tahun-tahun emas, 47 peratus menyebut keselamatan kewangan sebagai sebab utama diikuti kestabilan (40 peratus) dan kebebasan yang lebih besar (39 peratus).

Sebaliknya, kekurangan keselamatan kewangan menjadikan individu lebih pesimis. Dalam kalangan bukan pesara yang tidak menantikan persaraan, lebih separuh (56 peratus) menyebut ketidakamanan kewangan, diikuti kebimbangan tidak mampu memberi sokongan kewangan kepada keluarga (47 peratus).

Tempoh perancangan persaraan juga kekal singkat, dengan 30 peratus tidak membuat sebarang perancangan sebelum persaraan dan tambahan 26 peratus hanya merangka pelan dalam tempoh dua tahun sebelum meninggalkan pekerjaan sepenuh masa. Hanya 15 peratus berasa sangat yakin dengan pelan persaraan mereka.

Ramai pekerja di Asia turut berdepan tekanan kewangan tambahan untuk menanggung ibu bapa warga emas dan tanggungan muda, yang dikenali sebagai ‘generasi sandwic’.

Menjaga ahli keluarga tua dan muda menyebabkan ramai terpaksa mengecilkan jangkaan gaya hidup (43 peratus) atau menangguhkan persaraan (35 peratus).

Seiring peningkatan keinginan penduduk Asia untuk mengawal masa persaraan, 79 peratus responden percaya persaraan seharusnya menjadi pilihan peribadi dan bukannya ditentukan oleh umur wajib.

Perkara ini turut dicerminkan mengikut generasi, dengan responden Gen Z (36 peratus) yang sangat bersetuju berbanding 34 peratus Baby Boomers.

Hampir tiga perempat responden (73 peratus) menyokong individu bekerja melepasi umur persaraan di negara masing-masing.

Status kesihatan semasa dan jangkaan masa depan turut membentuk aspirasi seseorang terhadap persaraan, dengan tahap kesihatan yang baik berkait rapat dengan pandangan lebih optimistik terhadap kehidupan pada usia lanjut.

Dalam kalangan responden yang menyatakan pandangan mereka terhadap persaraan telah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebab paling kerap disebut ialah kesihatan fizikal yang lebih baik daripada jangkaan (49 peratus) serta kesihatan mental yang lebih baik (45 peratus).

Sebaliknya, kesihatan yang buruk boleh memberi kesan negatif terhadap pelan persaraan. Dalam kalangan individu yang bersara lebih awal daripada jangkaan, masalah kesihatan (27 peratus) dikenal pasti sebagai antara sebab utama.