Kerajaan perkenal MyKad baharu jejak pembelian minyak masak subsidi

Iklan
Armizan pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis. Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan MyKad baharu dilengkapi sistem kod QR bermula 1 Jun ini bagi membolehkan setiap pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh rakyat tempatan direkodkan secara sistematik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penggunaan MyKad itu akan menjadi salah satu pilihan dalam proses pembelian barangan tersebut menerusi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), sekali gus mengekang pembelian oleh warga asing.

Iklan
Iklan

“Aplikasi eCOSS menggunakan kod QR. Dengan hanya mengimbas kad pengenalan yang mempunyai kod itu, membolehkan pembelian minyak masak paket dimanfaatkan masyarakat kita," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk mengintegrasikan eCOSS dengan aplikasi lain yang berkaitan.

Iklan

Ujar Armizan, sistem eCOSS turut mendaftarkan semua pihak dalam rantaian pengedaran minyak masak paket bersubsidi termasuk kilang penapis, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit.

Menurutnya, ia juga berfungsi merekodkan setiap transaksi jual beli minyak masak kemasan paket di semua peringkat bagi memastikan ketelusan dan pengagihan subsidi yang lebih berkesan.

Iklan

“Kita tidak ada data siapa yang membeli minyak masak paket ini, jadi sekurang-kurangnya dengan pelaksanaan aplikasi eCOSS ini, kita sudah ada data.

“Dengan pelaksanaan bermula Mei 2025, kita berjaya merekodkan pembelian sebanyak 25,361,432 paket minyak masak.

“Selain itu, hala tuju program ini juga kita dapat tentukan bersandarkan pendekatan keputusan berasaskan data. Itu matlamat kita untuk memastikan supaya subsidi dengan implikasi kewangan yang cukup besar ini akan dapat kita teruskan sekaligus, memanfaatkan rakyat,” ujar beliau.