Hanya 18 peratus jemaah tangguh ibadah haji tahun ini

Iklan
Marhamah

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan penurunan ketara jumlah pendeposit yang menangguhkan tawaran menunaikan ibadah haji tahun ini iaitu 18 peratus berbanding 50 peratus pada musim lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, penurunan itu hasil pelaksanaan pendekatan lebih tersusun melibatkan persediaan kewangan dan pendidikan jemaah secara berperingkat.

Iklan
Iklan

“Ibadah haji memerlukan persediaan yang secukupnya bagi memenuhi syarat istito’ah dalam kewajipan menunaikan haji, disamping berteraskan prinsip maqasid syariah.

“Penting bagi umat Islam tahu bahawa syarat ini perlu dipenuhi merangkumi empat elemen utama, yang pertama kewangan yang mencukupi, kesihatan yang baik, keselamatan perjalanan dan kebenaran atau kuota daripada pihak kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Marhamah berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang bertanyakan kerajaan mengenai langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi mempermudah akses pendeposit TH menunaikan ibadah haji.

Ujar beliau, faktor utama yang menyumbang kepada penangguhan tawaran haji musim lalu berpunca daripada simpanan tidak mencukupi, diikuti masalah kesihatan dan komitmen peribadi termasuk pendidikan anak-anak.

Iklan

Menurutnya, lebih 53 peratus daripada kira-kira sembilan juta pendeposit TH ketika ini mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300.

“Antara usaha yang diperkenalkan adalah penetapan kadar simpanan minimum RM15,000 untuk penerimaan tawaran haji bagi memastikan TH dapat mengenal pasti serta menyaring bakal haji yang benar-benar mencukupi syarat istito’ah.

“TH komited melaksanakan inisiatif penambahbaikan baharu secara menyeluruh dan berperingkat termasuk melancarkan inisiatif simpanan sistematik jangka panjang bagi membantu pendeposit merancang perjalanan simpanan haji yang lebih disiplin.

“TH turut memperkasakan pendidikan kepada bakal haji dengan memanggil mereka menghadiri kursus asas seawal dua tahun sebelum tahun giliran bagi membantu dalam persediaan menjaga kesihatan,” ujarnya.