PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah, salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perkara itu disuarakan beliau ketika menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman, di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kepercayaan awam terhadap ATM tidak boleh dibina melalui slogan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi profesionalisme, akauntabiliti serta integriti yang tegas dan konsisten di setiap lapisan pentadbiran serta operasi.
“Dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah, pendirian kerajaan jelas iaitu tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah, lantas menuntut ketelusan, kejujuran dan keberanian untuk membersihkan kelemahan demi memelihara maruah ATM,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Tambah beliau, kerajaan akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani.
Di samping itu, beliau berkata kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta para veteran akan sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
Terdahulu, ketika berucap di Majlis Amanat Bersama Ketua Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa Berkaitan Jenayah Kewangan, Anwar menzahirkan rasa kecewa apabila kelemahan berterusan dalam penguatkuasaan undang-undang, khususnya melibatkan penyeludupan, pencerobohan serta kegiatan gelap yang masih berlaku dalam negara.
Beliau mengakui hilang sabar dengan situasi tersebut dan turut memberi tempoh seminggu kepada ketua agensi penguat kuasa untuk mempertimbangkan pertukaran jawatan sekiranya tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
ATM terpalit dengan skandal kewangan apabila bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, diheret ke mahkamah baru-baru ini.
Ia susulan pendedahan aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegu Bard, yang mendakwa mempunyai dokumen forensik menunjukkan aliran wang bulanan berjumlah puluhan ribu ringgit ke dalam akaun seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.
Justeru, Muhammad Hafizuddeain bersama isterinya, Salwani Anuar, berdepan pelbagai pertuduhan antaranya penggubahan wang haram dengan menerima hasil aktiviti haram mencecah lebih RM2 juta pada 2024 hingga tahun lalu.
Sementara itu, Mohd Nizam pula didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM552,481.90 selain berdepan tuduhan pecah amanah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) membabitkan RM3 juta serta menerima RM200,000 sejak 2024 lalu.