KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah inap desa atau homestay sebagai tempat penyimpanan dadah terbongkar susulan tangkapan empat lelaki tempatan di Segambut, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menahan empat suspek berusia 23 hingga 32 tahun dalam serbuan pada jam 7 petang.
"Kita telah menahan tiga suspek di rumah berkenaan, hasil pemeriksaan kita menjumpai 13 guni mengandungi 250 bungkusan plastik teh yang berisi dadah disyaki syabu.
"Anggaran berat keseluruhan dadah dirampas 261 kilogram yang bernilai RM13 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Fadil berkata, seorang lagi suspek ditahan berhampiran rumah inap desa itu.
"Modus operandi sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu adalah menyewa rumah inap desa dalam tempoh empat hari dengan bayaran RM200 sehari.
"Mereka kemudian mengedar peket dadah kecil secara mobil dengan menggunakan kenderaan untuk pasaran tempatan dan kelab malam," katanya.
Tambahnya, polis turut menyita wang tunai RM100 dan dua buah kenderaan iaitu Perodua Alza dan Toyota Vellfire yang didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.
"Semakan lanjut mendapati tiga suspek memiliki rekod lampau, kesemua suspek direman seminggu bermula 28 Januari hingga 3 Februari.
'Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.