331 kes AMLA babit bekas CEO, akauntan GISBH dipindahkan ke Shah Alam

Iklan
Nasiruddin berkerusi roda hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi prosiding kes AMLA pada Khamis.

SHAH ALAM – Semua 331 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) lebih RM38.1 juta, dihadapi bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tiga bekas akauntan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di empat negeri, dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Ini melibatkan Nasiruddin Mohd Ali, 67, yang berdepan 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70 sementara Hamimah Yakub, 74 (95 pertuduhan) bernilai RM11,428,811.20.

Iklan
Iklan

Pasangan suami isteri iaitu Mohd Khushairi Osman, 55, pula melibatkan (91 pertuduhan) berjumlah RM11,958,561.10 dan Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, (68 pertuduhan) sebanyak RM4,688,205.01.

Timbalan Pendakwa, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata demikian ketika pengurusan kes di hadapan Hakim, Datin Fatimah Zahari.

Iklan

Menurutnya, ia membabitkan kes-kes di Mahkamah Sesyen di sini termasuk Kuala Lumpur, Johor dan Kedah.

“Pendakwaan mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah setebal 10,000 muka surat.

Iklan

“Dokumen sudah dilengkapkan untuk keempat-empat tertuduh, maka saya percaya pihak pembelaan memerlukan masa untuk meneliti perkara tersebut,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin mewakili Mohd Nasiruddin, Asmat @ Asmanira dan Mohd Khushairi berkata, anak guam telah memberi arahan supaya pembelaan meneliti semua dokumen berkenaan.

Beliau berkata, mereka memerlukan masa selama empat bulan bagi mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurutnya, representasi berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), akan mengambil masa sehingga sembilan bulan.

“Jadi, saya percaya keputusan representasi akan mengambil masa sehingga tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Mohd Khair Yakub yang mewakili Hamimah memohon ikat jamin yang dikenakan Mahkamah Sesyen Kulim diguna pakai untuk kes-kes di sini.

Mahkamah membenarkan semua permohonan berkenaan dan menetapkan sebutan semula kes termasuk keputusan representasi pada 5 Mei depan.

Menurut semua pertuduhan, mereka didakwa menerima dan memindahkan hasil aktiviti haram melibatkan beberapa akaun antara 2020 hingga 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.