GEORGE TOWN - Mahkamah Sesyen 2 di sini menetapkan 13 Mac depan sebagai tarikh keputusan reprentasi bagi pihak pembelaan berhubung kes saman Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap dua syarikat menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tidak berdaftar secara sah.
RR Beaute Solution Sdn Bhd dan Akademi Latihan CTA Sdn Bhd masing-masing diwakili oleh dua pekerja iaitu pembantu tadbir dan pembantu peribadi syarikat tersebut.
Prosiding kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa KKM, Dr Mohd Fikri Mohammad Fishoul dan Shamsul Nizam Kassim manakala tertuduh diwakili peguam, V Joseph.
Menurut Mohd Fikri, pihak KKM belum menerima representasi daripada pihak pembelaan untuk dirujuk kepada mahkamah sebelum keputusan kes dibuat.
Joseph kemudiannya memohon maaf dan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya belum mendapat beberapa dokumen sebagai eksibit untuk dimasukkan ke dalam reprentasi.
"Pihak kami memohon maaf kerana tidak dapat mengemukakan reprenstasi pada hari ini kerana belum mendapat beberapa dokumen antaranya rekod pesakit, borang janjitemu, resit klinik, borang Indah Water Konsortium, baucar pembayaran dan dokumen perjanjian sewa premis.
"Oleh itu, kami memohon satu tarikh lain untuk pihak pendakwaan menyediakan kesemua dokumen tersebut sebelum kami menyediakan representasi," katanya.
Mohd Fikri kemudiannya berkata, pihak pendakwaan tiada halangan untuk menyediakan dokumen-dokumen yang dipohon kepada pihak pembelaan.
"Kami sudah menyerahkannya sebelum ini tetapi dalam bentuk album gambar.
"Kami tiada halangan untuk menyediakan dokumen-dokumen yang dipohon iaitu dalam bentuk fizikal jika itu yang dipohon pihak pembelaan.
"Kesemua dokumen berkenaan boleh disiapkan dalam tempoh seminggu," katanya.
Hakim, Irwan Suainbon berkata, reprentasi tersebut perlu diserahkan ssbelum 13 Mac untuk mahkamah menentukan keputusan reprentasi berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan, KKM menyaman dua syarikat kerana didakwa menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tanpa di Mahkamah Sesyen di sini.
Pemilik syarikat itu yang didakwa dimiliki oleh seorang pempengaruh media sosial dan suaminya namun tidak hadir ke mahkamah dalam prosiding pada November tahun lalu.
Mereka hanya mewakilkan wakil syarikat yang mana, kedua-dua wakil syarikat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua syarikat didakwa menyediakan suatu klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh syarikat terbabit pada 22 Oktober 2024, kira-kira jam 10.15 pagi di premis di Jalan Rangoon di sini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta yang sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM500,000.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai pasangan pempengaruh terkenal yang didakwa terbabit dalam kegiatan perubatan estetik tidak berdaftar serta program bimbingan kewangan berisiko tinggi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna dan integriti kewangan awam.