Bekas pensyarah tak mengaku menipu untuk dilantik konsultan program

Iklan
Tertuduh (tengah) diiringi peguamnya ketika hadir ke Mahkamah Butterworth pada Khamis.

BUTTERWORTH - Seorang bekas pensyarah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu untuk dilantik sebagai konsultan program universiti dengan bayaran RM20,000 pada 2024.

Tertuduh V Kathirkamanathan, 73, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memperdayakan Zalinah Abdul Rahman untuk mencadangkan kepada RUMC bagi melantiknya sebagai Programme Consultant - Master of Science of Occupational Therapy dengan bayaran RM20,000 kepadanya bagi membangunkan modul Program Terapi Pekerjaan walaupun tertuduh mengetahui yang lantikan itu melanggar kontrak kerja antara dirinya dengan Universiti Perdana.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat RCSI & UCD Malaysia Campus (RUMC) di George Town pada 26 September 2024.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, dengan denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam, Eric Paulsen.

Iklan

Tertuduh yang juga bekas Ketua Jabatan Terapi Pekerjaan dengan pengalaman hampir 50 tahun dalam bidang itu dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 berserta seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur yang berdekatan tempat tinggalnya pada setiap bulan bermula 1 Mac depan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan kes akan disebut semula 1 April depan bagi serahan dokumen.