SEREMBAN - Bekas ahli lembaga pengarah syarikat pelupusan sisa elektronik(e-waste) warga China didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan memberi rasuah RM50,000 kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Tertuduh, Jiang Fanjun, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah bersubahat dengan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM)2009, iaitu secara rasuah memberikan suapan wang tunai berjumlah RM50,000 kepada pegawai JAS.
Ia sebagai dorongan kepada pegawai itu untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lelaki tempatan terbabit yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] iaitu tidak mempunyai lesen premis ditetapkan, tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah, tiada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan larangan menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.
Perbuatan berkenaan merupakan hasil persubahatan tertuduh yang dilakukan pada 12 Februari 2025, jam lebih kurang 1.00 petang, di Jalan Zamrud, Kawasan Perindustrian Nilai di sini.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 28(1)(C) dibaca bersama Seksyen 17(6) Akta SPRM 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa SPRM, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan dengan beberapa syarat tambahan.
Peguam, Muhammad Denial Khairul Hizam bersetuju dengan tawaran tersebut.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 seperti mana dimohon dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM Negeri Sembilan pada awal minggu pertama setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga.
Sebutan semula kes 6 Mac depan.