PARIT BUNTAR – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) mengesahkan bantuan sara hidup kepada seorang warga emas yang tular di media sosial tetap diteruskan meskipun individu berkenaan gagal hadir ke sesi temu duga semula yang ditetapkan sebelum ini.
MAIPk memaklumkan, setiap penerima bantuan sara hidup bulanan diwajibkan melalui proses temu duga semula setiap dua tahun selaras dasar dan ketetapan MAIPk bagi memastikan bantuan diberikan secara berterusan sehingga penerima keluar daripada garis kemiskinan selain mengenal pasti penerima yang telah meninggal dunia.
Menurutnya, sehingga Disember 2025 seramai 13,458 orang asnaf di negeri Perak menerima bantuan sara hidup bulanan dengan kadar antara RM400 hingga RM1,000 sebulan bergantung kepada kelayakan dan keperluan semasa.
"Merujuk kepada isu tular melibatkan seorang penerima bantuan di Parit Buntar, Puan Ropiah yang menerima bantuan sara hidup bulanan RM400 sebulan, beliau telah dipanggil menghadiri program temu duga semula.
"Bagaimanapun, beliau tidak dapat hadir kerana tidak menerima surat panggilan temu duga,” menurut MAIPk menerusi satu kenyataan di Facebook pada Selasa.
Susulan aduan yang diterima, MAIPk Cawangan Parit Buntar telah turun padang menyantuni warga emas berkenaan dengan menyalurkan bantuan segera berjumlah RM400 selain meluluskan semula bantuan sara hidup bulanan yang akan dibayar segera mengikut syarat-syarat ditetapkan.
MAIPk dalam pada itu turut menegaskan komitmennya untuk terus menjaga kebajikan asnaf di negeri ini melalui penambahbaikan mutu bantuan serta pelaksanaan pelbagai program pemerkasaan secara berterusan.
Selain itu, orang ramai turut dialu-alukan untuk menyalurkan aduan berkaitan kesukaran hidup, kemiskinan dan kedaifan umat Islam di Perak bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai kisah Ropiah Abdurrosid, 90, yang dihentikan bantuan sara hidup sebanyak RM400 sebulan oleh MAIPk kerana tidak menghadiri temu duga ditetapkan.