Tidak boleh caj beg plastik 20 sen di Perak bermula 1 Mac

Iklan
Kok Lim (tiga dari kiri) ketika lawatan kerja dan perasmian Pusat Kelestarian Plastik (Plastics Sustainability Centre – PSC) di Aeon BiG Falim, Ipoh pada Sabtu.

IPOH - Bermula 1 Mac ini, premis perniagaan di Perak yang masih mengenakan caj 20 sen kepada pelanggan bagi pemberian beg plastik bakal berdepan tindakan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Teh Kok Lim berkata, penguatkuasaan itu selaras dengan larangan penggunaan beg plastik sekali guna yang telah ditetapkan kerajaan negeri di seluruh Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, amalan mengenakan caj bagi beg plastik yang dilakukan ketika ini tidak lagi dibenarkan dan premis tidak sepatutnya menawarkan pilihan kepada pelanggan untuk membayar bagi mendapatkan beg plastik.

“Sekarang dah tak boleh. Kedai dah tak patut dan tak boleh beri beg plastik. Kalau nak jual beg, mereka perlu guna beg kitar semula atau beg guna semula. Beg plastik sekali guna memang tak dibenarkan lagi.

Iklan

“Jadi mulai 1 Mac ini, jika kita kesan ada premis yang masih mengenakan caj 20 sen untuk beg plastik, tindakan akan diambil di bawah PBT,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja dan perasmian Pusat Kelestarian Plastik (Plastics Sustainability Centre – PSC) di Aeon BiG Falim di sini pada Sabtu.

Kok Lim berkata, kerajaan negeri sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik sekali guna daripada 1 Januari kepada 1 Mac 2026 bagi memberi tempoh persediaan yang mencukupi kepada rakyat dan peniaga.

Iklan

Katanya, larangan itu melibatkan premis tetap seperti pasar raya besar dan hypermarket, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai rangkaian, farmasi serta premis berkaitan.

Selain itu, larangan berkenaan turut meliputi kawasan khas termasuk Hutan Simpan, Taman Negeri Royal Belum, Taman Negeri Pulau Sembilan, Geopark Lenggong serta Geopark Lembah Kinta.

"Dulu kita mula dengan pelaksanaan pada hari Sabtu sahaja, namun selepas 1 Mac ini larangan akan berkuat kuasa setiap hari. Pemantauan dan penguatkuasaan juga akan dilaksanakan dengan lebih ketat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penubuhan PSC di Aeon BiG Falim merupakan satu inisiatif pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan plastik secara bertanggungjawab.

Menurutnya, pusat berkenaan yang diwujudkan dengan kerjasama Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA) Perak dan SIRIM bukan pusat kitar semula, sebaliknya berfungsi sebagai platform pendedahan kepada komuniti mengenai inovasi plastik, kaedah pengoptimuman penggunaan serta amalan kelestarian.

"PSC ini akan menganjurkan program pendidikan untuk mendidik komuniti tentang bagaimana penggunaan plastik boleh diurus secara lebih bertanggungjawab.

"Ia merupakan idea yang inovatif dan mungkin yang pertama diwujudkan dalam pusat membeli-belah, bukan sahaja di Ipoh malah di Malaysia," katanya.