IPOH – Kerajaan negeri Perak memberi amaran tegas kepada semua syarikat yang terlibat dalam aktiviti perlombongan supaya mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sekiranya mahu terus beroperasi tanpa gangguan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, itu termasuklah tiga syarikat perlombongan di daerah Hulu Perak yang dibenarkan kembali beroperasi selepas siasatan pencemaran Sungai Perak selesai.
Menurutnya, penguatkuasaan itu bukan sekadar untuk kepentingan pentadbiran, sebaliknya demi melindungi nyawa serta kesejahteraan rakyat.
“Nasihat saya kepada semua syarikat, apabila sudah diberikan SOP, ikutlah SOP itu sepenuhnya. Jangan ada sedikit pun cubaan untuk mengelak atau melanggar peraturan, walaupun dengan alasan untuk mengurangkan kos operasi.
“Kerajaan negeri sangat tegas dalam perkara ini. Jika melibatkan aktiviti melombong, terutama yang berkaitan dengan REE (unsur nadir bumi) yang berpotensi mempunyai risiko radioaktif, kesihatan dan nyawa rakyat jauh lebih penting daripada pendapatan hasil perlombongan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Konvensyen Integriti dan Antirasuah Negeri Perak Sejahtera Tahun 2026 dan Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Clean Peringkat Negeri Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Sementara itu, Saarani menjelaskan, syarikat terlibat telah dibenarkan menyambung semula operasi pada 13 Januari lalu selepas siasatan teknikal dijalankan dan pihak berkuasa berpuas hati dengan pematuhan syarat ditetapkan.
"Tujuan operasi itu dihentikan sebelum ini adalah bagi membolehkan siasatan dijalankan, termasuk punca kejadian air bertukar warna biru serta pelanggaran SOP oleh syarikat terlibat.
"Apabila jabatan teknikal berpuas hati dengan hasil siasatan dan pematuhan semula SOP, barulah kebenaran operasi diberikan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa pelanggaran SOP sebenarnya lebih merugikan pihak syarikat sendiri kerana penggantungan operasi akan menyebabkan mereka menanggung kerugian besar.
"Bila operasi digantung, syarikat tetap perlu bayar gaji pekerja tetapi tiada pendapatan.
"Itu kerugian besar kepada mereka sendiri. Sebab itu kita tekankan supaya semua peraturan dipatuhi," katanya.
Saarani turut menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam isu yang melibatkan keselamatan rakyat dan akan terus mengutamakan kepentingan awam berbanding keuntungan ekonomi semata-mata.