IPOH - Gangguan rantaian makanan termasuk penularan Demam Babi Afrika (ASF) yang menjejaskan populasi babi hutan, dikenal pasti antara faktor utama berlakunya konflik harimau di Perak.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, keadaan tersebut menyebabkan haiwan pemangsa itu keluar dari habitat asal bagi mencari sumber makanan, sekali gus meningkatkan risiko kemunculan di kawasan penempatan penduduk.
"Harimau ini bukan haiwan yang boleh kita kawal pergerakannya di kawasan tertentu sahaja. Apabila rantaian makanan terganggu dan mereka memerlukan makanan, mereka akan bergerak ke kawasan yang bersesuaian.
"Kita tidak boleh kata harimau itu tidak akan masuk ke kawasan penduduk. Apa yang penting sekarang ialah memastikan rantaian makanan mereka masih mencukupi. Ini sedang kita usahakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja dan perasmian Pusat Kelestarian Plastik (Plastics Sustainability Centre - PSC) di Aeon BiG Falim di sini pada Sabtu.
Menurut Kok Lim, kerajaan negeri bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang mempergiat usaha menangani konflik tersebut melalui operasi tangkapan serta pemantauan.
"Mana-mana harimau yang berjaya ditangkap ditempatkan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) (Sungkai) untuk dijadikan induk," katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa peningkatan kehadiran harimau juga mencerminkan kejayaan usaha konservasi yang telah dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lalu, namun memerlukan pendekatan berhati-hati bagi mengelak ancaman pemburuan haram.
“Bilangan harimau memang ada menunjukkan peningkatan. Tetapi perkara ini tidak boleh diumumkan secara terbuka kerana kita bimbang menarik perhatian pemburu haram," katanya.