KELULUSAN penangguhan pelaksanaan hukuman oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membabitkan kesemua tujuh pemain warisan tidak seharusnya disalahertikan sebagai jaminan bahawa rayuan mereka pasti berjaya.
Peguam Komersial dan Sukan, Nik Erman Nik Roseli menegaskan bahawa keputusan tersebut hanyalah satu perintah prosedur yang dibenarkan dalam CAS dan bukan bermaksud hukuman asal telah diketepikan.
Menurutnya, persepsi bahawa penangguhan itu menandakan peluang kemenangan yang tinggi atau membuktikan pemain tidak bersalah adalah kurang tepat.
"Penangguhan ini adalah suatu perintah yang dibenarkan dalam CAS. Ini tidak bermakna hukuman diketepikan.
"Ia juga tidak bermaksud peluang rayuan tinggi, pemain-pemain tidak bersalah atau rayuan akan berjaya. Sekiranya rayuan CAS ditolak nanti, hukuman terhadap pemain-pemain ini akan tetap diteruskan," katanya kepada Sukan Sinar.
Menurut Nik Erman, permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman adalah amalan biasa di bawah Kod CAS (R37), asalkan ia memenuhi tiga elemen utama yang ditetapkan.
"Elemen pertama adalah 'Irreparable harm' apabila pemain berhujah mereka akan menanggung kerugian besar jika terlepas peluang bermain selama 12 bulan sekiranya rayuan mereka didapati berjaya kemudian hari.
"Elemen kedua adalah 'likelihood of success'. Pemain perlu menunjukkan ada peluang untuk berjaya dalam rayuan.
"Namun, perlu diingat bahawa panel belum meneliti hujah rayuan secara mendalam, sebaliknya hanya melihat secara prima facie (sekilas pandang) bahawa ada asas untuk rayuan itu didengar," ujarnya.
Tambahnya, elemen ketiga melibatkan imbangan kepentingan yang bermaksud pemain perlu membuktikan bahawa kepentingan mereka melebihi kepentingan FIFA dalam kes ini.
Nik Erman turut memberi contoh kes terdahulu membabitkan CAS 2008/A/1453 antara Elkin Soto Jaramillo dan FSV Mainz 05 apabila pemain digantung empat bulan namun CAS membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan penuh.
Beliau turut menjelaskan bahawa konsep penangguhan pelaksanaan ini bukanlah asing dalam sistem perundangan, malah wujud dalam kes jenayah dan sivil.
"Konsep ini sama seperti kes jenayah di mana penjenayah boleh memohon menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan selesai. Ia bukan bermakna mereka sudah bebas," jelasnya.