Tiada aduan isu buli siber pemain badminton negara - Nie Ching

Iklan
Ee Wei dan Tang Jie mempamerkan aksi mantap untuk muncul juara Indonesia Masters, pada Ahad. Gambar kecil: Nie Ching

TIMBALAN Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengesahkan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan isu buli siber yang melibatkan pemain badminton beregu campuran negara, Toh Ee Wei.

Menurutnya, beliau juga belum dimaklumkan secara rasmi mengenai kewujudan aduan tersebut yang menjadi bulan dalam kalangan peminat sukan badminton tanah air.

Iklan
Iklan

“Setakat ini saya tidak menerima sebarang aduan dan juga belum mendapat pengesahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sama ada mereka telah menerima aduan tersebut atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, sekiranya aduan diterima, sudah tentu MCMC akan memberikan bantuan yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Utama, Kulai pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi Ee Wei yang meluahkan rasa terkilan terhadap kritikan netizen, termasuk kata-kata kesat yang ditujukan kepada ibu bapanya, susulan prestasi tidak konsisten yang dipamerkan bersama pasangan beregunya, Chen Tang Jie, sejak kebelakangan ini.

Isu buli siber yang membabitkan pemain itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat sukan, sekali gus mencetuskan gesaan supaya tindakan tegas diambil bagi melindungi kebajikan mental atlet negara.

Iklan

Bagaimanapun, Ee Wei dan Tang Jie yang juga pasangan ranking keempat dunia dilihat seakan-akan menjawab kritikan tersebut apabila bangkit menewaskan pasangan ranking ke-10 dunia dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, 15-21, 21-17, 21-11 pada aksi final Indonesia Masters, Ahad lalu.

Sementara itu, Nie Ching meminta semua pengguna internet agar sentiasa rasional dan berhemah, khususnya dalam menyampaikan pandangan atau kritikan.

"Masalah sesetengah netizen ialah dalam perbincangan nyata, mereka tidak akan menggunakan perkataan atau cara tersebut, tetapi di internet mereka merasakan ruang itu bebas tanpa batasan hingga mereka bebas untuk berkata apa sahaja.

“Jadilah seorang pengguna internet yang baik. Jika perkataan atau cara itu tidak akan digunakan dalam perbincangan secara bersemuka, maka janganlah kita lakukannya di media sosial," katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya memberikan sokongan padu kepada pemain dan atlet negara, termasuk ketika mereka berdepan tekanan atau prestasi tidak menentu.

"Kita perlu ingat mereka tetap berjuang membawa nama negara.

“Kita lihat semalam (Ahad), mereka membawa pulang kemenangan (Indonesia Masters) untuk Malaysia. Jadi perkara paling penting ialah kita terus memberikan sokongan yang kuat dan positif kepada atlet-atlet negara kita,” katanya.