PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan tujuh pemain Harimau Malaya yang sebelum ini dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kini dibenarkan kembali beraksi.
Perkembangan itu hadir selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) meluluskan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan oleh kesemua pemain terbabit.
Menerusi satu kenyataan rasmi, FAM memaklumkan keputusan tersebut meyaksikan tujuh pemain warisan negara iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel boleh kembali bermain.
“FAM ingin memaklumkan bahawa CAS telah membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan tersebut.
“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh FIFA terhadap mereka ditangguhkan buat sementara waktu,” menurut kenyataan badan induk itu.
Susulan keputusan tersebut, kesemua pemain berkenaan kini diberi ‘lampu hijau’ untuk meneruskan karier profesional mereka serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, FAM menjelaskan bahawa kebenaran ini kekal sehingga satu keputusan muktamad mengenai rayuan penuh kes tersebut diputuskan oleh pihak CAS kelak.
Pada September tahun lalu, FIFA mengesahkan bahawa FAM dan tujuh pemain itu didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Siasatan mendapati FAM mengemukakan dokumen yang dipercayai dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan ketujuh-tujuh pemain tersebut, sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam kemenangan 4-0 ke atas Vietnam dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia AFC 2027 di Bukit Jalil pada Jun tahun lepas.
Susulan keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) dan kesemua mereka digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
FAM kini menunggu keputusan rayuan di CAS selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan ketujuh-tujuh pemain berkenaan.