Nova tuntut konsistensi Tang Jie-Ee Wei

Iklan
Tang Jie-Ee Wei muncul juara Masters Indonesia. Foto Agensi

KETUA jurulatih beregu campuran kebangsaan, Nova Widianto berpuas hati dengan prestasi gandingan juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mencipta sejarah menjuarai Masters Indonesia 2026 pada Ahad.

Kejayaan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei yang tampil selaku pilihan ketiga kejohanan muncul pasangan beregu campuran negara pertama meraih gelaran tersebut.

Iklan
Iklan

Bagi Nova, pencapaian tersebut bukan sahaja menunjukkan kematangan dan persefahaman tinggi antara pemain tetapi juga memberi motivasi tambahan menjelang kejohanan Seluruh England 2026.

Kejohanan berprestij itu berlangsung di Birmingham bermula 3 hingga 8 Mac ini.

Iklan

“Keputusan ini menguatkan semangat kami untuk terus mengekalkan rentak.

“Fokus kini adalah untuk memastikan Tang Jie-Ee Wei mampu mencapai prestasi terbaik di Seluruh England nanti,” katanya.

Iklan

Selain kejayaan beregu campuran, pasangan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan M Thinaah turut muncul juara Masters Indonesia selepas gandingan Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi, menarik diri pada final akibat demam.

Pearly mengakui gembira dengan kejayaan tersebut, tetapi turut berasa terkilan kerana tidak berpeluang menentang lawan yang diidamkan.

“Kami sebenarnya teruja untuk beraksi menentang mereka di Istora Senayan, lebih-lebih lagi selepas melihat prestasi cemerlang mereka sepanjang kejohanan,” katanya.

Kemenangan itu menjadikan Pearly-Thinaah pasangan beregu wanita Malaysia pertama menjuarai Masters Indonesia sejak Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada 2011.

Ini juga merupakan gelaran pertama mereka musim ini selepas tiga kejohanan.

Selain gandingan Tang Jie-Ee Wei dan Pearly Thinaah, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut bergelar juara selepas menewaskan pasangan tuan rumah Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 21-19, 21-13.