PENDEDAHAN Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, Datuk Ishak Bakri mengenai golongan guru antara penjawat awam paling banyak muflis di Selangor menarik perhatian banyak pihak.
Isu kebankrapan ini bukanlah masalah baharu dalam kalangan rakyat di negara ini. Berdasarkan rekod sedia ada, sehingga tahun lalu, dilaporkan lebih 25,000 kes kebankrapan baru telah didaftarkan dan ia sesuatu yang membimbangkan.
Pinjaman peribadi tersenarai antara punca utama dan ia menunjukkan betapa rakyat Malaysia berdepan masalah pengurusan kewangan yang kritikal.
Situasi yang mungkin kita boleh fahami ialah pinjaman dibuat untuk menyelesaikan hutang, menampung kos belanja seharian atau pembiayaan aset.
Namun untuk jangka masa tertentu, ia menjadi beban jangka masa panjang yang menekan hidup, menjadikan tujuan utama pembiayaan gagal mencapai matlamat.
Isu pokoknya adalah sikap kita dalam menguruskan kewangan itu sendiri. Sama ada ia satu keperluan atau menjadi instrumen menampung kehendak yang tidak pernah bernoktah.
Selain itu, pembiayaan kenderaan juga menjadi antara jerat kepada banyak orang yang gagal mengukur saiz poket pada mulanya.
Kehendak hati yang ingin memiliki kereta atau motosikal berkuasa tinggi berjenama, mengheret peminjam sehingga mereka akhirnya berisiko muflis.
Ini sering terjadi kepada mereka yang baru saja memulakan alam pekerjaan dengan gaji permulaan yang rendah, tetapi ada keinginan meluap-luap.
Sudahnya, mereka memohon pembiayaan kenderaan yang memerlukan komitmen bulanan tinggi, sedangkan minat serta kemampuan tidak bertahan lama sehingga tamat tempoh pembiayaan itu.
Sebut mengenai gaya hidup, faktor muflis yang tidak kurang popular adalah penggunaan kad kredit secara tidak terkawal.
Data menunjukkan golongan muda antara yang paling ramai terjerat, menanggung hutang yang tidak perlu semata-mata tidak mahu ketinggalan dengan trend semasa.
Apabila sudah terjerat, mereka tidak boleh lagi menikmati kebebasan sebenar dengan status seadanya kerana hidup seolah-olah dibelenggu kealpaan sendiri. Mereka bebas, tetapi tetap berada di penjara terbuka.