ISU pendatang asing tanpa izin (PATI) bagai tidak pernah reda.
Jika tidak isu penempatan haram, pasti ada tentang aktiviti perniagaan, kebersihan, jenayah mahu pun sosial lain.
Itu tidak dikira lagi dengan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang menimbulkan keresahan penduduk setempat.
Adakah kerajaan dan kementerian mampu menanganinya? Jika dilihat di ruang media sosial mahupun siaran akhbar, banyak keluhan masyarakat tempatan yang tidak selesa dengan isu ini.
Bila isu ini timbul, terkait pula segelintir warga tempatan yang menggajikan dan melindungi PATI ini kononnya bayaran gaji lebih murah tanpa memikirkan kesan dan akibat dijangka masa panjang.
Bila 'mereka' semakin berlambak, timbul pula kes penggunaan kad pengenalan atau MyKad palsu dalam kalangan warga asing seperti yang dilaporkan Sinar Harian baru-baru ini hasil tindakan serbuan pihak penguat kuasa.
Dalam usaha mempertingkat tindakan, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam amanatnya baru-baru ini menekankan empat fokus antaranya ialah penguatkuasaan.
Zakaria menegaskan, penguatkuasaan akan terus diperkasakan secara berstrategi, berasaskan risikan dan undang-undang.
Sebagai rekod, tahun 2025 mencatatkan tangkapan lebih 90,000 PATI di seluruh negara.
Malah, lebih 5,000 pemegang kad UNHCR juga diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Berdasarkan tindakan itu, tangkapan dilaksanakan di pelbagai lokasi antaranya premis perniagaan, tapak pembinaan dan penempatan selain kejayaan menumpaskan sindiket.
Bukan sahaja JIM, tindakan ke atas PATI turut dilaksanakan oleh agensi penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Justeru, dalam bersama membanteras isu PATI ini, masyarakat juga diingat agar tidak bersekongkol dan melaporkan aduan di saluran 03-8880 1347 atau emelkan aduanpati_hq@imi.gov.my.