KUALA LUMPUR – Pas tidak melihat sebarang halangan dalam menyokong cadangan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Pengerusi Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun sebarang keputusan berhubung perkara itu perlu diputuskan secara rasmi oleh presiden-presiden parti gabungan berkenaan.
"Tiada masalah, namun Majlis Presiden PN yang perlu tentukan, bukan orang lain. Ia mesti dalam kalangan presiden-presiden parti, (boleh diterima) kalau semua bersetuju.
"(Dalam pertemuan sebelum ini) tiada apa-apa keputusan dibuat berhubung perkara ini. (Apa) yang dibuat adalah kuasa atau 'jurisdiction' majlis presiden itu dikaji semula untuk ditingkatkan lagi," katanya ketika dalam sidang media Timbalan Setiausaha Agung PN di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut pada Isnin.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Peletakan jawatan itu disahkan sendiri bekas Perdana Menteri itu menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa, yang mana peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan itu berkuat kuasa 1 Januari ini.
Susulan itu, timbul pelbagai spekulasi calon akan menerajui PN termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.
Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada Pas termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mahu jawatan Pengerusi PN diberikan kepada Pas.
Menurut Takiyuddin, sebarang perbincangan melibatkan penetapan jawatan tersebut berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Majlis Presiden PN yang dianggotai presiden parti komponen termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ujarnya, selain Abdul Hadi dan Muhyiddin, Majlis Presiden PN turut dianggotai Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau serta Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.
"Saya bayangkan apabila Majlis Presiden PN dipanggil mesyuarat, di situ mereka lantik antara empat presiden ini, sama ada setuju atau tak setuju.
"(Segala keputusan dalam pertemuan) kena buat dalam mesyuarat Majlis Presiden PN," ujarnya.