'Mesyuarat PN ini untuk ahli Majlis Tertinggi sahaja' – Takiyuddin

Iklan

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Mesyuarat Luar Biasa Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung pada Khamis hanya melibatkan ahli Majlis Tertinggi yang masih sah menyandang jawatan.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat berkenaan tidak menyenaraikan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan bekas Perdana Menteri itu telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Iklan
Iklan

"Apabila Muhyiddin telah meletakkan jawatan, beliau bukan lagi anggota PN. Sebab itu kita tidak panggil dan (peletakkan jawatan itu) berkuat kuasa 1 Januari 2026. 

"Perlembagaan PN ini agak pelik juga yang mana Pengerusi PN memegang jawatan selagi dikehendaki oleh Majlis Tertinggi walaupun 10 hingga 20 tahun.

Iklan

"Pemahaman saya kita hanya panggil ahli Majlis Tertinggi sahaja. Kalau ada satu keputusan lain yang tafsir Perlembagaan ini, sebagai Timbalan Setiausaha Agung saya akur," katanya ketika sidang media Timbalan Setiausaha Agung PN di Pejabat Agung Pas Pusat, Jalan Raja Laut di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.

Iklan

Peletakan jawatan itu disahkan sendiri bekas Perdana Menteri tersebut menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa yang mana, peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan itu berkuat kuasa 1 Januari ini.

Susulan itu, timbul pelbagai spekulasi calon akan menerajui PN termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.

Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada Pas termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mahu jawatan Pengerusi PN diberikan kepada Pas.

Ujar Takiyuddin, nama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin tidak disenaraikan dalam mesyuarat berkenaan memandangkan kedua-dua individu itu telah mengemukakan peletakan jawatan sebelum ini.

Menurut beliau, mesyuarat luar biasa PN kali ini mengetengahkan tiga agenda utama termasuk memilih pengerusi mesyuarat dari kalangan timbalan-timbalan pengerusi PN.

"Agenda kedua mengesahkan peletakan jawatan pengerusi PN seperti mana kehendak fasal 8.3 (1)(b).

"Ketiga, apabila atau sekiranya Majlis Tertinggi PN meluluskan peletakan jawatan pengurusi PN, maka selepas itu baru diadakan pelantikan pengerusi PN yang baharu. Ia tertakluk kepada agenda dua di atas.

"Andai kata Majlis Tertinggi PN tidak meluluskan peletakan jawatan pengerusi PN. Maka secara sah, dia masih kekal sebagai pengerusi dan tidak perlulah agenda melantik pengerusi PN yang baharu," ujarnya.

Seramai 16 anggota Majlis Tertinggi PN dijadual berkumpul di ibu pejabat Parti Gerakan bagi menghadiri satu mesyuarat luar biasa PN.