KUALA LUMPUR - Pas menafikan wujud pertembungan antara kepimpinan pusat yang diketuai Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan Majlis Syura Ulama yang dipengerusikan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setiap keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama adalah hasil perbincangan bersama semua 17 ahlinya, termasuk wakil kepimpinan pusat.
Iklan
Iklan
Ujar beliau, majlis berkenaan turut dianggotai pimpinan tertinggi parti termasuk Abdul Hadi sendiri dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
"Kalau tanya mengenai Majlis Syura Ulama, ia melibatkan 17 ahli. Bukan seorang ahli sahaja. Kalau Majlis Syura itu buat apa-apa keputusan, ia mesti masuk dalam mesyuarat dulu,” katanya ketika dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai kemelut politik di Perlis susulan peletakan jawatan Datuk Seri Shukri Ramli sebagai Menteri Besar dan tindakan menggugurkan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas.
Situasi itu mencetuskan persepsi wujudnya perbezaan pendekatan antara kepimpinan pusat parti dan Mursyidul Am.
Dalam perkembangan itu, kepimpinan Pas pusat dilihat lebih menekankan dakwaan pengkhianatan oleh tiga ADUN berkenaan, manakala Hashim mengambil pendirian yang menumpukan kepada usaha perpaduan, selaras dengan prinsip musyawarah dan keharmonian dalam parti serta gabungan PN.