PKR Perak aktifkan jentera pilihan raya cabang menjelang PRU16

Iklan
PKR Perak menyifatkan penganjuran Permukiman Pemantapan Organisasi dan Strategi Pilihan Raya PKR Negeri Perak selama tiga hari dua malam bermula 23 hingga 25 Januari lalu di Kem Ghafar Baba, Kemensah, Selangor berjaya.

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mengarahkan semua cabang mengaktifkan jentera pilihan raya masing-masing selewat-lewatnya sebelum Oktober 2026 sebagai langkah awal persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak dalam satu kenyataan media memaklumkan fokus turut akan diberikan kepada kerusi-kerusi berpotensi yang mempunyai kepimpinan akar umbi kukuh, struktur cabang aktif serta jentera yang berfungsi secara konsisten.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain mempertahankan kerusi sedia ada, parti itu juga akan mengaktifkan unit penerangan dan komunikasi di peringkat cabang bagi memastikan dasar serta agenda Kerajaan Madani dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat, khususnya di kawasan yang belum dimenangi.

“Semua cabang akan diarahkan mengaktifkan jentera sebagai fasa awal untuk menilai kekuatan organisasi, keupayaan mobilisasi dan keberkesanan komunikasi di peringkat akar umbi.

Iklan

"PKR Perak yakin bahawa dengan persiapan awal, strategi jelas dan komitmen padu seluruh jentera, parti berada pada landasan yang tepat untuk terus memperkukuh kedudukan demi masa depan negeri dan negara," kata kenyataan menerusi hantaran di Facebook Keadilan Perak pada Isnin.

Dalam pada itu, PKR Perak menegaskan komitmen terhadap politik khidmat rakyat, kestabilan dan perpaduan serta menolak politik kebencian dan emosi sempit, selari dengan aspirasi Kerajaan Madani.

Iklan

Mereka yakin persiapan awal, strategi yang jelas serta komitmen padu seluruh jentera parti akan terus memperkukuh kedudukan parti demi masa depan negeri dan negara menjelang PRU16.

"Kami juga kekal komited mempertahankan kuota minimum 30 peratus penglibatan wanita dan anak muda dalam kepimpinan serta gerak kerja parti," menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, penganjuran Permukiman Pemantapan Organisasi dan Strategi Pilihan Raya PKR Negeri Perak selama tiga hari dua malam bermula 23 hingga 25 Januari lalu di Kem Ghafar Baba, Kemensah, Selangor disifatkan berjaya.

Menurutnya, permukiman tersebut melibatkan barisan MPN PKR Perak, MPN Wanita PKR Perak serta MPN Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak sebagai langkah menyeluruh memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi cabaran politik semasa dan persiapan menuju PRU16.

Permukiman itu turut menjadi medan penyatuan fikrah dan semangat antara pimpinan negeri, Wanita dan AMK bagi memastikan seluruh jentera parti bergerak seiring dalam satu arah dan satu matlamat bagi memenangi kepercayaan rakyat.