UMNO teruskan penubuhan Sekretariat Rumah Bangsa walaupun tanpa Pas

Iklan
Rozi ketika ditemui pemberita selepas Majlis Jalinan Mesra Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Rakan Media Terengganu di Kuala Terengganu pada Ahad.

KUALA TERENGGANU – UMNO akan tetap meneruskan usaha menubuhkan Sekretariat Rumah Bangsa walaupun tanpa penglibatan Pas sekiranya parti itu menolak cadangan kerjasama bagi menyatukan parti politik Melayu Islam.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, cadangan penubuhan sekretariat berkenaan berpandukan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menekankan keperluan mewujudkan satu platform bagi menangani kegusaran rakyat khususnya di peringkat akar umbi yang melihat perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Ahmad Zahid telah menyuarakan hasrat untuk mengajak semua pihak duduk bersama di bawah konsep Rumah Bangsa sebagai langkah awal ke arah penyatuan, bukan untuk terus membincangkan soal gabungan politik atau pembahagian kerusi pilihan raya.

"Dalam konteks semasa, kita ada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah), yang kesemuanya merupakan parti Melayu. Namun, perkara ini masih di peringkat permulaan dan dicadangkan untuk dibincangkan di bawah satu sekretariat terlebih dahulu.

Iklan

"Soal hendak menubuhkan atau menyertai gabungan tertentu itu adalah perkara kedua. Pada peringkat ini, Presiden UMNO hanya membuka minda ke arah penyatuan bagi mengurangkan kegusaran rakyat di peringkat bawah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Mesra Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Rakan Media Terengganu di sini pada Ahad.

Iklan

Rozi yang juga Pengerusi Ketengah berkata, kenyataan beliau berhubung cadangan Rumah Bangsa sebelum ini disalah tafsir dengan mengaitkan ia dengan isu pembahagian kerusi pilihan raya sehingga menjadi tumpuan di media sosial.

Jelas beliau, cadangan itu sepatutnya dilihat sebagai proses berperingkat yang perlu dimulakan dengan langkah awal melalui perbincangan dan penubuhan jawatankuasa atau sekretariat khas.

"Kita tidak boleh terus melompat ke langkah kelima. Kita perlu bermula dengan langkah pertama dan bergerak secara berperingkat. Jika terlalu awal bercakap soal pembahagian kerusi, keadaan akan menjadi lebih rumit," jelas beliau.

Menurutnya, keterbukaan telah ditunjukkan oleh Amanah untuk berwacana ke arah penyatuan, manakala keputusan Pas yang secara terbuka menolak cadangan tersebut disifatkan sebagai hak parti berkenaan.

"Itu tidak menjadi masalah. Hak untuk menerima atau menolak adalah perkara biasa dalam politik dan boleh dibincangkan pada peringkat seterusnya," katanya.

Tambah beliau, buat masa ini UMNO akan terus bergerak seperti biasa sementara menunggu keputusan muktamad daripada pucuk pimpinan parti berhubung penubuhan sekretariat tersebut.

"Sekretariat inilah yang akan membincangkan secara terperinci cadangan dan hala tuju Rumah Bangsa. Fungsi serta peranannya masih belum dimuktamadkan, namun pendirian pihak yang lebih awal menolak, itu kita tidak tahu," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengemukakan cadangan konsep Rumah Bangsa ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 baru-baru ini.

Beliau dilaporkan berkata, UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak, sama ada secara individu atau secara`en-bloc’.