KUALA LUMPUR - Hasil kajian persepsi umum oleh pasukan pengkaji diketuai penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) akan diambil kira oleh kerajaan untuk menentukan cadangan dasar Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, kajian yang turut melibatkan wakil badan bukan kerajaan (NGO) itu bermula sejak 1 September tahun lalu dan dijangka tamat pada 28 Februari depan.
Katanya, keputusan kajian persepsi umum itu akan digabungkan bersama dapatan libat urus yang dijalankan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Sebanyak 20 siri sesi libat urus diadakan BHEUU bersama pihak berkepentingan pada peringkat akar umbi dalam menggubal undang-undang ini. Daripada jumlah itu, 12 siri libat urus peringkat negeri melibatkan penyertaan 1,544 peserta telah diadakan.
“Ia merangkumi pegawai kerajaan Persekutuan dan negeri, parti politik, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), wakil dewan perdagangan, persatuan perniagaan, NGO, CSO, ahli akademik dan golongan belia.
“Hasil dapatan sesi libat urus dan kajian tersebut akan digabungkan bagi membentuk parameter dasar RUU Pendanaan Politik. Cadangan dasar ini (kemudian) akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat pertimbangan selanjutnya,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai perkembangan kepada cadangan kerajaan untuk menggubal Akta Pendanaan Politik bagi menjamin ketelusan.
Kulasegaran berkata, maklum balas utama yang diterima melalui sesi libat urus yang dilakukan meliputi isu pendanaan awam bagi parti politik, keperluan pendedahan laporan kewangan parti kepada umum, had sumbangan yang dibenarkan serta kategori penderma yang boleh atau tidak boleh memberikan sumbangan.
Tegasnya, kerajaan kekal komited untuk memperkenalkan RUU Pendanaan Politik itu seperti digariskan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (SPRN) 2024–2028.
“Kajian awal berkaitan RUU ini sudah bermula sejak 2019 oleh Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) termasuk dua sesi libat urus pada 2022.
“BHEUU mula mengambil alih penyediaan RUU ini pada Mei 2023 sebelum kerajaan pada 8 September tahun sama memutuskan agar skop dasarnya dirujuk kepada JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat,” ujarnya.
Tamba beliau, JKPK turut mengadakan siri mesyuarat bagi meneliti parameter dan cadangan dasar RUU Pendanaan Politik itu termasuk mesyuarat yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama Kumpulan Rentas Parti Politik Malaysia (KRPPM) pada 12 Februari 2025.