RUU Pendanaan Politik tolak persepsi penyumbang derma dapat projek - Kulasegaran

Iklan
Kulasegaran ketika sesi waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dalam Dewan Rakyat pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik ketika ini turut bertujuan menolak persepsi kononnya penyumbang dana akan menerima kontrak projek kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, ini kerana wujud banyak tanggapan bahawa pihak yang memberi derma kepada parti politik akan memperolehi kontrak.

Iklan
Iklan

“Kita perlu faham bahawa penggubalan RUU ini belum selesai dan masih dalam perbincangan tetapi saya setuju wujud persepsi bahawa pihak yang menyumbang akan memperoleh kontrak dan sebagainya.

“Ini salah satu isu utama kenapa RUU ini sedang diusahakan iaitu untuk mengatasi persepsi-persepsi sedemikian dan mengelakkan pihak yang menyumbang wang kepada parti politik atau individu tertentu beranggapan kerana mereka menyumbang, mereka akan mendapat kontrak,” katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dalam Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) mengenai usaha yang akan dilakukan kerajaan untuk menghentikan persepsi atau fitnah kononnya syarikat atau pihak yang menyumbang dana kepada parti politik akan mendapat projek dan mereka yang tidak menyumbang pula tidak akan memperolehnya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor turut menyifatkan isu yang dibangkitkan Suhaizan itu sangat relevan kerana menunjukkan persepi yang timbul ketika ini.

Iklan

Menerusi soalan tambahan, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pula menggesa kerajaan memberi jaminan bahawa undang-undang pendanaan politik nanti tidak akan dilaksanakan secara terpilih atau digunakan hanya terhadap pihak pembangkang.

“Menteri, saya nak pastikan kerajaan boleh beri komitmen untuk berlaku adil kepada semua parti politik. Jangan digunakan terhadap pembangkang sahaja,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya kontraktor yang aktif mendapatkan projek kerajaan tidak dibenarkan menyumbang kepada parti politik bagi mengelakkan amalan membeli pengaruh selain perlu menghentikan pemberian projek bernilai besar dalam tempoh singkat kerana boleh menimbulkan persepsi tidak sihat termasuk melibatkan syarikat luar.

“Kalau boleh, kontraktor yang aktif dengan kerajaan ini jangan diterima sumbangan mereka kerana ia boleh mewujudkan amalan membeli pengaruh,” ujarnya.

Menjawab pertanyaan itu, Kulasegaran menegaskan komitmen kerajaan terhadap penggubalan undang-undang pendanaan politik itu namun pada masa sama mengakui bahawa proses tersebut memerlukan penelitian menyeluruh.

“Komitmen itu ada tetapi (kita juga perlu ambil kira sejarah), setelah kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada 2020, kerajaan selepas itu mempunyai masa lebih dua tahun untuk menggubal undang-undang ini tetapi mereka telah melepaskan peluang keemasan tersebut,” katanya.

Menurutnya, cadangan Mohamad Zulkifly sedang diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pilihan (JKPK) Parlimen yang turut dianggotai oleh wakil rakyat dari Pas itu sendiri.

“Inisiatif ini berada dalam penelitian JKPK dan Yang Berhormat (YB) Besut pun ialah salah seorang anggota dalam jawatankuasa itu. YB pun lebih arif bahawa perkara ini sedang diusahakan oleh kerajaan tetapi semua pihak berkepentingan.

“Semestinya kerajaan akan melaksanakan usaha tersebut, kita komited lebih daripada 100 peratus,” tegasnya.